KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha bas ‘berputih mata’ selepas wang sebanyak RM500,000 yang dilaburkan dalam sebuah syarikat yang mendakwa menawarkan pelaburan patuh syariah lesap.
Lelaki tersebut antara 150 mangsa pelaburan yang menjanjikan pulangan dividen secara bulanan sebanyak tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan dibuat.
S Azlan Selamat, 56 tahun berkata, dia terpengaruh dengan pelaburan itu selepas rakannya yang juga seorang pengurus bank memperkenalkannya kepada sebuah syarikat yang pernah disiarkan di televisyen.
“Pada November tahun 2021 saya laburkan RM500,000. Rakan yang kenalkan saya kepada pelaburan itu sanggup berhenti kerja sebagai pegawai bank dan mahu fokus dalam pelaburan tersebut.
“Kita percaya disebabkan barisan penasihat syarikat itu ada nama-nama besar dalam industri perbankan dan kewangan. Kita ditawarkan dividen 3.1 peratus setiap bulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar serahan aduan mangsa pelaburan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut S Azlan, episod dukanya bermula selepas tidak lagi menerima wang dividen seperti yang dijanjikan rakannya pada bulan keenam.
“Saya sempat dapat dalam RM80,000 sahaja. Kita minta balik semula duit dia tak bagi. Pelbagai alasan seperti ada masalah audit dan sekarang langsung tak boleh dihubungi.
“Syarikat itu masih beroperasi. Kita minta pihak berkuasa bekukan dahulu syarikat tersebut dan yang mana duit pelabur yang ditipu ini pulangkan segera,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, hampir 400 individu ‘berputih mata’ dengan anggaran kerugian sebanyak RM900 juta selepas mendakwa menjadi mangsa syarikat pelaburan saham yang kononnya menjalankan saham boleh tebus patuh syariah.
Menurutnya, terdapat dua sindiket yang dikenal pasti memperdayakan mangsa dalam kes tersebut dan satu daripadanya sudah beroperasi sejak lima tahun lalu, manakala sebuah lagi mula aktif pada tahun 2021.
“Antara modus operandi syarikat pelaburan saham ini adalah menggunakan nama syarikat ‘Berhad’ yang difahami masyarakat negara ini sebagai sebuah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham di Malaysia.
“Malah syarikat sama juga mengguna pakai nama Suruhanjaya Sekuriti atau ‘SC’ untuk lebih meyakinkan pelabur menyertai skim ditawarkan.
“Apa yang menimbulkan tanda tanya adalah bagaimana syarikat tersebut peroleh sijil patuh syariah tulen bagi memperdayakan mangsa,” katanya.
Tambah beliau, tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat berkenaan supaya tiada lagi individu boleh menjadi mangsa mereka.
Menurutnya, laporan polis sudah dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) tersebut dan semua mangsa terlibat. namun kes diklasifikasikan sebagai rujuk agensi lain (ROA). – KOSMO! ONLINE