IMOLA, Itali – Jaguh Mercedes, Lewis Hamilton belum dapat memberi jaminan dia akan kekal bersaing dalam kancah Formula Satu (F1) musim depan selepas meraih kemenangan pada Grand Prix (GP) Emilia Romagna kelmarin.
Hamilton, 35, berjaya membantu Mercedes mengesahkan kejuaraan dunia kategori pengeluar buat kali ketujuh berturut-turut selepas merekodkan kemenangan 1-2 bersama rakan sepasukan, Valtteri Bottas pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Imola tersebut.
Sebagai rekod, kontrak Hamilton bersama Mercedes akan tamat penghujung tahun ini dan pasukan berpangkalan di United Kingdom itu dikatakan sudah bersedia untuk menawarkan perjanjian baharu dengan gaji sebanyak £40 juta (RM214.4 juta) setahun.
Bagaimanapun, Hamilton belum dapat memutuskan keputusan rasmi mengenai masa depannya kerana lebih berminat untuk menamatkan kalendar saingan F1 musim ini terlebih dahulu.
“Sukar untuk memberi jaminan kepada pasukan kerana saya tidak tahu akan kekal di sini ataupun tidak.
“Sekarang saya mahu fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menghabiskan perlumbaan musim ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamilton yang telah meraih enam gelaran dunia dalam kariernya, mengakui keputusan ketua prinsipal Mercedes, Toto Wolff yang meluahkan hasratnya untuk meninggalkan pasukan itu hujung tahun ini adalah satu kerugian besar buat mereka.
“Saya sudah lama bersama Mercedes dan sangat selesa dengan cara kerja Wolff. Beliau mempunyai kredibiliti dan daya kepimpinan yang tinggi, namun kita semua perlu menghormati keputusan peribadinya,” jelas Hamilton. – AGENSI