PUTRAJAYA – Biro Pendidikan UMNO Putrajaya membuat kejutan bersempena Hari Guru dengan menghantar 27 kek kepada semua sekolah di kawasan ini sebagai tanda menghargai warga pendidik.
Pengerusinya, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, kek tersebut akan diagihkan ke semua sekolah rendah dan menengah menerusi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing.
“Ini merupakan kejutan yang kami rancang untuk sekolah-sekolah di Putrajaya sempena Hari Guru yang disambut pada hari ini.
“Semoga dengan pemberian kecil ini akan meningkatkan semangat para guru untuk terus mendidik anak bangsa untuk menjadi insan berguna kepada bangsa, agama dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengagihkan kek sempena Hari Guru kepada YDP PIBG Putrajaya di sini hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, Hisamudin memaklumkan ketika ini terdapat kira-kira 1,600 pelajar asnaf di Putrajaya yang memerlukan pelbagai bantuan.
“Bulan lalu ketika mengadakan pertemuan bersama YDP PIBG Putrajaya, saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai jumlah pelajar asnaf di Putrajaya.
“Oleh sebab itu, saya telah menghantar surat kepada Menteri Pendidikan untuk mohon adakan pertemuan bagi membincangkan mengenai permasalahan sekolah-sekolah di Putrajaya terutamanya melibatkan fasiliti.
“Selain itu, saya juga telah berbincang dengan Menteri Agama mengenai jenis-jenis bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan kepada pelajar asnaf terbabit,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE