PETALING JAYA – Ramai peminat kumpulan muzik popular dunia, Coldplay kecewa tidak dapat membeli pra jualan tiket yang mula dijual hari ini.
Menurut tinjauan Kosmo! di media sosial, orang ramai mula memasuki sistem pembelian tiket seawal pukul 9 pagi walaupun hanya boleh dibeli pada pukul 10 pagi.
Dalam tempoh selama dua jam, peminat boleh membuat pembelian dengan menggunakan sistem ‘beratur’ dalam aplikasi dan laman sesawang Go Live.
Walau bagaimanapun, rata-rata peminat mengalami masalah untuk mengakses setelah ‘beratur’ dengan lama dan ada juga gagal untuk mendapatkan tiket kerana laman sesawang ‘crash’.
Kebanyakan mereka juga menggunakan sehingga lima peranti dalam masa yang sama bagi mencuba nasib untuk membeli tiket konsert tersebut.
“Adik saya dah tunggu depan komputer sejak pukul 9, tetapi gagal untuk beli sebarang tiket. Satu peranti dah dapat masuk tadi, tetapi terkeluar pula,” ciap seorang pengguna.
“Bertenang semua, Go Live sengaja buat tiket itu tidak ada untuk pra pembelian ini. Sebelum ini pun banyak lagi tiket yang masih boleh dibeli pada saat akhir,” ciap Nini.
Bukan itu sahaja, tinjauan Kosmo! di beberapa platform jual beli dalam talian, sudah ada ‘reseller’ (penjual semula) yang menjual tiket dibeli kepada orang ramai.
Konsert sulung Coldplay di Malaysia dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November 2023 depan.
CIMB Bank selaku penaja utama konsert ini memberi keistimewaan kepada pemegang kad bank CIMB untuk membeli tiket lebih awal, hari ini manakala jualan secara umum akan dibuka mulai esok. – KOSMO! ONLINE