ALOR SETAR – Pengeluaran durian di negeri ini dijangka berkurangan sehingga 30 peratus akibat cuaca panas yang melanda sejak hujung bulan lepas.
Menurut Pengarah Pertanian negeri, Ramli Abdul Rahman, pihaknya menerima rungutan daripada pengusaha tanaman itu di sekitar Padang Terap, Sik, Baling dan Bandar Baharu yang terjejas ekoran perubahan cuaca itu.
“Durian dijangka luruh pada hujung Jun hingga Julai nanti, namun seperti juga tanaman lain termasuk durian akan terkesan akibat cuaca panas melampau ini.
“Durian memang tidak perlukan air banyak tetapi air perlu mencukupi dan kalau air tak cukup pucuk akan mati walaupun pokok itu berusia puluhan tahun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri di Pusat Latihan Pertanian di Teluk Kechai di Kuala Kedah, hari ini.
Kata beliau, mengikut kajian pihaknya, pengeluaran durian dijangka menurun sehingga 30 peratus.
“Ia disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu sejak Januari hingga Mac lepas yang menjejaskan pengeluaran pucuk dan bunga pokok durian.
“Kita jangka pada Januari hingga Mac itu kemarau tapi pada masa itu kemarau sekejap dan selepas itu hujan. Kita sukakan kemarau sebab ia akan meningkatkan pengeluaran bunga tetapi hujan mengakibatkan pucuk tumbuh dan bunga durian gugur,” ujarnya.
Bagi mengatasi perkara itu, katanya, Jabatan Pertanian negeri membantu para petani termasuk memastikan mereka mendapat sumber air mencukupi bagi tanaman masing-masing melalui kaedah air bawah tanah dan air permukaan.
Sementara itu, ketika ditanya tentang harga buah durian yang diramal naik ekoran pengurangan pengeluarannya, kata beliau, ia dijangka terkawal dan signifikan dengan kos yang terpaksa ditanggung petani ketika ini. – KOSMO! ONLINE