GEORGE TOWN – Pembangunan projek tambakan laut selatan Pulau Pinang atau dikenali sebagai Penang South Island (PSI) dijamin tidak menghapuskan sektor perikanan dan menghalang nelayan daripada menangkap ikan.
Penang Infrastructure Corporation (PIC) dalam satu kenyataan berkata, PSI juga tidak akan mengancam keselamatan makanan memandangkan tangkapan sumber laut untuk nelayan pantai adalah seluas 14.8 kilometer dari garis pantai.
“Nelayan tempatan biasanya menangkap ikan di kawasan luar daripada tapak projek. Kami menerima maklumat ini daripada nelayan tempatan dan mengesahkannya dengan kiraan bot secara fizikal serta menggunakan imej satelit yang merakam pergerakan bot nelayan di perairan selatan Pulau Pinang.
“Memandangkan kebanyakan aktiviti menangkap ikan berlaku lebih jauh dari tapak penambakan, kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberi bantuan bot yang lebih besar kepada nelayan tekong lengkap dengan peralatan seperti enjin berkuasa tinggi, GPS dan pengangkut jaring,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, bot dan peralatan baharu itu adalah sebahagian daripada Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) projek untuk nelayan selatan Pulau Pinang. Pelan tersebut juga menawarkan bantuan kewangan, jeti baharu dengan kemudahan yang sesuai, latihan, peluang pekerjaan dan perniagaan.
Dalam pada itu, katanya lagi, adalah tidak logik untuk mendakwa bahawa penambakan pulau seluas 2,300 ekar tersebut akan menghapuskan sumber laut seperti ikan dan udang.
“Dakwaan bahawa projek penambakan di perairan Pulau Pinang akan memberi kesan kepada tempat-tempat sejauh Kedah dan Selangor adalah keterlaluan.
“PSI direka dengan memikirkan masa depan negeri Pulau Pinang dan ini bermakna ia mesti disesuaikan dengan perubahan iklim dan cabaran lain yang akan dihadapi. Inilah sebabnya mengapa pembangunan PSI penting kepada ekonomi negeri,” jelasnya.
Oleh demikian katanya, projek berkenaan tidak akan menghalang mana-mana pihak atau komuniti daripada mengusahakan kegiatan ekonomi mereka.
“Ia adalah permulaan baharu bagi Pulau Pinang. Ini adalah projek yang akan membina masa depan yang lebih baik dan lebih berdaya tahan dari segi ekonomi untuk generasi akan datang.
“Selepas lapan tahun berusaha untuk mendapatkan kelulusan yang berkaitan dan mereka bentuk PSI, Pulau Pinang harus menyempurnakan tanggungjawabnya untuk melaksanakan projek ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE