fbpx

Penduduk flat culas bayar yuran penyelenggaraan, kerja baik pulih ‘terbantut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD JAFNI (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di Residensi Kota Tinggi, Johor hari ini.

KOTA TINGGI – Penduduk culas dalam membayar yuran penyelenggaraan bulanan menjadi punca rumah flat awam di negeri ini kini berada dalam keadaan uzur akibat tidak diselenggara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md. Shukor berkata, lebih malang lebih 70 peratus peringkat perbadanan pengurusan (MC) tidak dapat memungut bayaran bulanan dan akhirnya kontraktor dilantik tidak dapat melaksanakan kerja-kerja sepatutnya.

Katanya, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti kira-kira 10 rumah flat awam yang sudah berusia 40 tahun kini berdepan dengan masalah keuzuran pada tahap yang teruk.

“Dalam pertemuan dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Tuanku telah bertitah untuk pembelaan rumah flat-flat awam negeri Johor dimana untuk rumah flat awam dibawah Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau MC biasanya tiada peruntukan.

“Sebab itu Tuanku minta sediakan bajet untuk rumah flat awam antaranya yang telah berusia 40 tahun contoh seperti di Taman Tun Aminah yang memiliki 40 blok lebih kurang 4,000 unit rumah disana dari segi pendawaian, perpaipan, cat memang teruk keadaannya.

“Selama ini flat awam, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan tidak ada bidang kuasa untuk bantu tetapi dalam pertemuan dengan Tuanku dan Menteri, Tuanku titah menteri untuk sediakan peruntukan khas bagi flat-flat awam yang telah uzur ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di Residensi Kota Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.

Baginda bertitah kebanyakan flat kos rendah berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan seranggar berbisa.

Mohd. Jafni berkata, bagi tahun ini kerajaan negeri telah mengeluarkan RM58 juta untuk kerja mengecat, baiki bumbung, sistem perpaipan dan lain-lain lagi khasnya melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi perumahan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI