fbpx

Suami beruntung isteri sendiri pinang madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIRUZ Nizam (tiga dari kiri) bersama dua isterinya, Nurul Alfira (dua dari kiri) dan Siti Fatimah (dua dari kanan) ketika ditemui di majlis itu di Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini- MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM – Hasrat seorang lelaki untuk berpoligami bukan sahaja tidak dibantah malah isteri pertama sendiri menyatakan hasratnya untuk bermadu kepada madu.

Lebih menguntungkan adalah impian berpoligami itu disuarakan pengurus prasekolah swasta, Fairuz Nizam Zainal Abidin sebelum berkahwin dengan isteri pertamanya, Nurul Afira Zakaria,39, pada tahun 2008.

Menurut Fairuz Nizam, 41, hasil perkahwinan dengan Nurul Afira telah dikurniakan seramai lima anak berusia setahun hingga 11 tahun.

Katanya, bagaimanapun niat hatinya untuk berpoligami tidak pernah padam dengan tujuannya adalah bagi membantu wanita yang hidup dalam kesusahan.

“Memang diakui mana ada isteri sanggup berkongsi kasih. Namun saya bersyukur isteri memahami niat saya meskipun pada awalnya Nurul Afira berat untuk menerima niat saya.

“Malah saya terkejut apabila isteri sendiri yang menyatakan hasrat saya mahu berkahwin dengan madu bagi menyempurnakan impian ini,” katanya.

Terdahulu, Fairuz Nizam ditemui pada majlis Aidilfitri anjuran Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (Harmoni) di Seksyen 7, di sini, baru-baru ini.

Menceritakan detik permulaan dia mengenali isteri keduanya, Siti Fatimah, Fairuz memaklumkan bahawa dia mengenalinya setelah Siti Fatimah menjadi guru di prasekolah yang diuruskannya pada tahun 2020.

Menurutnya, sifat keibuan serta bertanggungjawab yang ada pada Siti Fatimah membuatkannya mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai isteri keduanya.

“Saya menyatakan hasrat tersebut kepada Nurul Alfira dan membawanya berjumpa Siti Fatimah pada April 2021.

“Dalam pertemuan tersebut, isteri pertama terus melamar Siti Fatimah bagi pihak saya. Namun, Siti Fatimah tidak terus bersetuju kerana terkejut dengan lamaran tersebut dan saya menghormati keputusannya,” ujarnya.

Selepas membuat lamaran itu, kata Fairuz Nizam, dia dan Siti Fatimah menjalankan tugas hakiki mereka secara profesional di tempat kerja mereka.

Pada Mac 2022, impiannya untuk berpoligami akhirnya tercapai apabila Siti Fatimah bersetuju untuk menjadi isteri keduanya.

“Selepas Siti Fatimah bersetuju, saya telah memaklumkan pada dua orang anak yang lebih tua, iaitu Nur Insyiroh Fairuz Nizam, 11 dan Nusaibah Fairuz Nizam, 8.

“Alhamdulillah, dua anak memahami hasrat saya setelah saya berjanji dengan mereka bahawa saya akan bersikap adil kepada ibu mereka,” katanya dengan nada tenang.

Ditanya adakah dia akan berkahwin lagi, Fairuz Nizam menyatakan bahawa dia tidak menolak kemungkinan itu, namun hanya berserah kepada takdir.

Namun, dia telah memaklumkan perkara ini kepada dua isterinya dan mereka menerima dengan hati yang reda sekiranya Fairuz Nizam mendapat isteri ketiga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI