fbpx

Jelajah Ehsan Rakyat dan Jualan Rahmah bergabung Jun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ( tengah) bersama Mohamad Khairil ( kanan) dan Jwan pada majlis tersebut di Wisma PKPS.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan bekerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi melaksanakan pergabungan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dan Jualan Rahmah, selewat-lewatnya Jun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini akan memberikan impak lebih besar dalam membantu rakyat mengimbangi kos sara hidup.

Katanya, jualannya akan memfokuskan kepada bahan keperluan termasuk ayam dan sayuran.

“Kita (kerajaan negeri) akan bincang bagi penyusunan gabungan itu bersama KPDN.

“Jumlah produk bertambah, penjimatan juga bertambah menerusi gabungan tersebut.

“JER akan diteruskan sembilan lokasi dan kita tengok kapasiti KPDN. Kalau boleh buat sembilan, kita akan buat sembilan tetapi peringkat awal adalah tiga atau lima (gabungan jualan itu),” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyampaian sijil Malaysia Book of Records (MBOR) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Pemasaran MBOR, Jwan Heah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi di Wisma PKPS.

Pengiktirafan itu melibatkan jualan subsidi terbesar iaitu ayam sebanyak 30,000 ekor ayam dan 10,712 papan telur dalam JER.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan JER yang dilaksanakan September tahun lalu hingga bulan ini telah berbelanja sebanyak RM37 juta.

“Jumlah penjimatan diterima dalam kalangan rakyat adalah RM18juta kerana kita beri subsidi dengan harga ayam, telur dan beras murah.

“Ramai cakap tidak akan berjaya mungkin sebulan sahaja (JER). Namun, sudah sembilan bulan kita laksanakan. Pengiktirafan (MBOR) itu bukan satu dirancang, tetapi JER ini bagi mengurangkan dan mengimbangi kos sara hidup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI