PETALING JAYA – Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice terbuka dengan penganjuran konsert Coldplay yang bakal berlangsung November depan selagi kumpulan popular tersebut menghormati negara.
Ujar Caprice atau nama penuhnya Ariz Ramli, 34, kehadiran kumpulan yang popular menerusi lagu Fix You itu juga tidak akan menjadi isu besar selagi tidak menunjukkan sokongan penuh terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada konsert mereka nanti.
“Bagi saya, tiada masalah Coldplay nak buat konsert di Kuala Lumpur selagi mereka menghormati budaya kita.
“Selagi mereka tidak mengibarkan bendera pelangi (LGBT), insya-Allah selamat,” katanya menerusi sebuah video dalam Instagram hari ini.
Selari dengan kerancakan penganjuran konsert, dia juga berharap acara-acara keagamaan juga diperbanyakkan.
“Kita juga harap acara agama di negara ini dipermudahkan termasuk isu tauliah golongan agamawan.
“Insya-Allah acara hiburan dan agama berjalan seiring. Tiada masalah pun,” ujarnya.
Menyelar kecaman segelintir pihak mengenai kemasukan kumpulan Coldplay yang memang diketahui umum menyokong LGBT, Caprice meminta orang ramai melihat semula pihak yang meluluskan konsert-konsert penyanyi antarabangsa sebelum ini.
“Kalau anda kata kerajaan sekarang dan dulu tak berguna, habis itu anda mahu siapa sebagai pemerintah Malaysia? Mahu Ayah Pin (pengasas ajaran sesat, kerajaan langit)?
“Kalau nak selamatkan umat Islam, konsert memang langsung tiada, lawan dadah, gengsterisme, buli, judi dan rasuah.
“Jika kita mahu selamatkan umat Islam, lawanlah taikun dan masukkan dahulu individu terlibat rasuah. Berani ke nak kantoikan mereka?” jelasnya.
Sejak beberapa hari lalu, penganjuran konsert Coldplay di Malaysia pada November depan menjadi perdebatan ramai pihak termasuk golongan pendakwah bebas.
Bagi mereka, Coldplay membawa pengaruh negatif terhadap masyarakat negara ini kerana kumpulan itu dikatakan menyokong budaya LGBT. – KOSMO! ONLINE