GOMBAK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membuat pemantauan berhubung harga ikan yang didakwa meningkat susulan kekurangan bekalan akibat cuaca panas.
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bagaimanapun, setakat ini, harga bagi barangan mentah itu dilihat masih terkawal.
“Setakat hari ini, harga (ikan) tidak menjadi satu krisis dalam negara dan bekalan pun masih mencukupi. Namun, kita bersedia dan akan memberi fokus supaya apa juga tanda-tanda kenaikan harga (ikan) itu dapat kita tangani.
“Pegawai penguat kuasa juga akan membuat pemantauan setiap hari di semua lokasi. Jika ada aduan terpencil pun kita akan maklumkan,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Giant di Pasar Raya Giant cawangan Batu Caves, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan segelintir peniaga terpaksa menaikkan harga jualan ikan bagi menampung kenaikan di peringkat pembekal yang mendakwa bekalan kurang.
Sementara itu, Salahuddin memberitahu, sebanyak 3,590 cawangan kedai dan pasar raya seluruh negara direkodkan mengambil bahagian dalam inisiatif Payung Rahmah melibatkan sejumlah 14,500 jenis barangan.
Justeru, Salahuddin berkata, penglibatan tersebut membuktikan bahawa inisiatif terbabit semakin mendapat sambutan dalam kalangan pemain industri.
“Jadi saya bercadang untuk mengadakan pertemuan khas bersama pemain-pemain industri bagi membicangkankan hala tuju inisiatif ini kerana kebimbangan di peringkat awal nampaknya semakin menipis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE