PETALING JAYA – Sebanyak 90 peratus pasangan bercerai adalah kerana menghadapi pergaduhan yang berpanjangan dan mengabaikan solat.
Penceramah terkenal yang juga bekas Perunding Cara Keluarga, Ustazah Asma’ Harun berkata, banyak lagi faktor-faktor lain yang membawa kepada perceraian seperti orang ketiga, kewangan dan hubungan intim, namun begitu, tidak mendirikan solat adalah punca utama.
“Semua ini ada kajian ilmiah berdasarkan analisis setiap kes, fokus kepada punca masalah melibatkan ribuan kes dalam tempoh saya bertugas.
“Masalah hubungan intim ada kalanya menjadi sebab utama, tapi kebanyakannya adalah kesan akibat bila syariat Islam diabaikan, katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Tambahnya, sebagai contoh, seorang suami yang tidak solat, pasti cenderung untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai suami begitu juga dengan isteri.
“Sebagai perundingcara, memang saya berdepan secara langsung, dengan ramai pasangan yang ada masalah dengan hubungan intim ini.
“Saya cuba bantu dengan dua keadaan dimana pertama, menjawab kepada hukum hakam hubungan intim dan yang kedua berkaitan saranan yang perlu mereka lakukan, saranan agama dan rawatan perubatan,” katanya.
Perkongsian tersebut menjadi tular di Facebook, dengan tanda suka sebanyak 5,600, 270 komen dan 1,100 perkongsian. – KOSMO! ONLINE