54 tahun lalu, pada tarikh 13 Mei, jika diimbas kembali kejadian yang berlaku sewaktu itu, pastinya tiada yang sanggup untuk cuba membayangkannya. Terlalu tragis untuk dikenang.
Ekoran perselisihan faham antara kaum selepas Pilihan Raya Umum 1969, 196 nyawa tidak bersalah menjadi korban selain 439 individu cedera, 39 hilang serta 9,143 lagi rakyat terpaksa ditahan pasukan keselamatan.
Melihat kepada impak insiden berdarah itu, seharusnya peristiwa berkenaan dijadikan pengajaran di mana masyarakat berbilang kaum di Malaysia perlu terus bersatu padu dan hidup secara harmoni.
Ini kerana, budaya tolak-ansur dan saling menghormati dilihat menjadi antara asas terpenting bagi memastikan konsep perpaduan kekal terjalin seterusnya memadamkan api kebencian yang cuba dinyalakan pihak tertentu.
Dalam konteks ini, pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, naratif mengenai peristiwa itu perlu sentiasa disampaikan kepada masyarakat terutamanya golongan muda agar mengetahui mengenai sejarah hitam tersebut.
Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan penceritaan itu sampai ke setiap peringkat rakyat dan dihayati sebaiknya seterusnya berupaya mewujudkan kumpulan masyarakat saling menghormati.
“Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyampaikan kisah di sebalik peristiwa itu, sebaliknya semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk menyalurkan maklumat terutamanya kepada golongan muda.
“Sebagai contoh, pihak sekolah dan institut pengajian tinggi boleh menggunakan platform media sosial mereka bagi menyampaikan pengajaran dan impak peristiwa berkenaan kepada kumpulan sasar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai segelintir individu yang gemar menghangatkan api perkauman khususnya dalam arena politik, Mohamad Shatar menjelaskan, jumlahnya dilihat rendah dan boleh ditangkis dengan kerjasama rakyat.
“Jumlah mereka yang suka menyemarakkan api perkauman mungkin dalam satu peratus sahaja, baki 99 peratus lagi ialah kumpulan rakyat yang sentiasa menghormati dan kekal menjaga budaya perpaduan antara kaum.
“Lantaran itu, kita perlu mencorakkan pemikiran majoriti rakyat itu agar terus memahami tentang impak peristiwa 13 Mei seterusnya mampu mengatasi kebencian yang cuba dibawa oleh kumpulan dalam kategori satu peratus,” jelasnya.
Mohamad Shatar turut mengingatkan mana-mana calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk terus kekal menjaga keharmonian dan tidak menggunakan sentimen perkauman ketika berkempen.
“Kita mengadakan PRN bagi mencari kestabilan politik, jadi calon bertanding perlu mempamerkan sisi matang dan hanya memainkan isu sesuai dan bukannya aspek perkauman semata-mata.
“Masyarakat juga perlu bijak memilih di mana harus memberi peluang kepada calon politik yang mampu menjaga keharmonian antara kaum sekali gus membawa kestabilan kepada Malaysia tercinta,” katanya. -KOSMO! ONLINE