JAKARTA – Gara-gara berang ditangkap berkelakuan curang dengan wanita lain, seorang lelaki di Cikarang, wilayah Jawa Barat bertindak nekad memandu kereta dan merempuh isterinya, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Berdasarkan video tular di media sosial, sebuah kereta berwarna merah dilihat diserbu oleh orang ramai. Mereka berang dan mengetuk kenderaan itu.
Orang awam juga membelasah lelaki yang merupakan pemilik kereta itu. Turut kelihatan adalah seorang wanita bertudung yang cuba meleraikan orang ramai.
Tidak lama selepas itu, seorang lagi wanita berambut panjang dilihat keluar dari tempat duduk penumpang hadapan kereta itu.
Menurut maklumat saksi, si suami yang merupakan pemilik kereta tersebut sebelum itu melanggar isterinya selepas wanita berkenaan menangkap dia berkelakuan curang di dalam kereta.
Orang ramai yang mendapat tahu mengenai perkara itu kemudian bertindak menghentikan kereta dipandu si suami dan cuba membelasahnya.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Menakutkan. Dari hari ke hari, semakin banyak kes curang,” kata seorang netizen.
“Semakin ramai yang menjadi popular disebabkan berlaku curang. Hairan sekali,” kata pengguna lain. – Agensi