PETALING JAYA – SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Skyworld, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, bersempena penyenaraian tersebut, tawaran awam awal (IPO) SkyWorld yang terdiri daripada syarikat pegangan pelaburan, menawarkan perkhidmatan pengurusan kepada subsidarinya dan juga sebagai pemaju hartanah, bakal melibatkan sebanyak 208 juta saham baharu.
Menurut beliau, ia mewakili kira-kira 20.8 peratus daripada terbitan saham modal yang diperbesarkan dan daripada 208 juta saham baharu itu sebanyak 25 juta saham ditawarkan kepada pengarah yang berkelayakan, pengurusan kanan utama, pekerja dan juga individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.
Baki sebanyak 133 juta saham baharu pula akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada institusi dan juga pelabur terpilih.
Sebanyak 150 juta saham sedia ada bakal ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera, manakala baki 42 juta saham sedia ada diperuntukkan kepada pelabur institusi serta pelabur terpilih.
“Kami berbangga menerima keputusan tentang kelulusan untuk menyenaraikan saham di Pasaran Utama Bursa Securities. Ini adalah peristiwa penting bagi kami dan ini menunjukkan pengukuhan keyakinan dalam pertumbuhan trajektori SkyWorld.
“Dalam usaha penyenaraian tersebut, kami kekal fokus dalam perniagaan dan kami akan berusaha untuk menawarkan projek pembangunan yang sedang berjalan dengan standard terbaik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Kenanga Investment Bank Berhad adalah penasihat principal, penaja jamin dan ejen penempatan bagi penyenaraian tersebut. -KOSMO!ONLINE