fbpx

K2

Francisca perjuang misi kebangkitan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FRANCISCA merupakan wanita Dayak pertama yang berjaya memenangi gelaran Ratu Cantik Universe Malaysia.

TANGGAL 5 September lalu menjadi detik terindah yang akan dikenang sepanjang hayat bagi gadis berusia 25 tahun itu.

Pada malam itu, Francisca Luhong James telah dimahkotakan sebagai pemenang pertandingan Ratu Cantik Universe Malaysia (Miss Universe Malaysia) 2020.

Gadis berasal dari Kuching, Sarawak itu berjaya mengetepikan 17 peserta lain pada pusingan akhir pertandingan ratu cantik paling berprestij tersebut yang berlangsung selama lebih dua jam di Kuala Lumpur.

FRANCISCA (kiri) dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Universe Malaysia 2020 oleh Shweta Sekhon yang merupakan pemenang Ratu Cantik Universe Malaysia 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemenangan Francisca diumumkan secara langsung di laman web Miss Universe Malaysia (MUM) selepas dinilai oleh juri iaitu pelakon dan pengarah Datuk Hans Isaac dan Ratu Cantik Universe Malaysia 2011, Deborah Henry serta pereka fesyen, Carven Ong.

“Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir untuk menyertai pertandingan ratu cantik. Apatah lagi untuk memenangi pertandingan sebesar MUM ini.

“Perjalanan hidup saya yang membawa ke saya ke sini sehingga berjaya memenangi mahkota MUM pada tahun ini. Ia umpama mimpi yang menjadi realiti,” katanya kepada K2.

Kejayaan tersebut membolehkan Francisca mencipta sejarah sebagai gadis berketurunan Dayak pertama di negara ini memenangi gelaran MUM.

Bapa Francisca, James Bungan berketurunan Orang Ulu dari Ulu Sungai Asap, manakala ibunya, Pauline Japok merupakan seorang Iban dari Kanowit.

GADIS dari Kuching, Sarawak ini mempunyai ketinggian 175 sentimeter.- Foto SHAHRIL AZMAN

Dengan kemenangan itu juga melayakkan Francisca untuk mewakili Malaysia berentap dengan jelitawan-jelitawan dunia dalam Ratu Cantik Universe 2020 yang bakal diadakan di Amerika Syarikat pada tahun depan.

Perjalanan anak sulung daripada tiga beradik itu hakikatnya cukup panjang sebelum berjaya dimahkotakan MUM 2020. Cerita Francisca, segalanya bermula sewaktu berusia 18 tahun ketika bekerja sambilan di sebuah kedai menjual cenderamata milik ibu saudara di Kuching.

Cerita gadis berketinggian 175 sentimeter itu, pada satu hari, kedai tersebut dikunjungi seorang jurusolek ratu cantik yang ingin membeli cenderamata untuk digayakan seorang ratu cantik.

“Jurusolek itu terpegun melihat wajah dan ketinggian tubuh saya. Dia cakap, pakej yang dimiliki saya amat sesuai untuk menjadi seorang model.Padahal ketika itu saya jenis yang lasak dan jarang tampil feminin. Sejak itu, dia melatih saya menjadi peragaan sambilan,” ujarnya.

Minat tersebut diteruskan sehingga dia menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Perhubungan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lendu, Melaka.

Pertandingan ratu cantik pertama disertai Francisca adalah sewaktu pesta menuai di Sarawak dengan menggayakan busana tradisional Iban dan berjaya meraih tempat kedua.

Pada tahun 2015, dia mengorak langkah mengambil bahagian dalam pertandingan Ratu Cantik Dunia Malaysia (Miss World Malaysia) atau MWM dan berjaya terpilih sebagai lima peserta terbaik.

“Saya ambil bahagian sebanyak dua kali dalam MWM pada tahun 2015 dan 2018. Kedua-duanya saya berada di kelompok lima peserta terbaik sahaja.

“Keputusan itu agak baik memandangkan saya ketika itu sibuk sebagai eksekutif perhubungan awam dan pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu negara,” ujar wanita seberat 52 kilogram itu.

Pada awalnya, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada menyertai sebarang acara ratu cantik. Bagaimanapun selepas beberapa bulan, tercetus dalam benak fikirannya untuk mencuba nasib buat kali terakhir dengan menyertai MUM 2020.

FRANCISCA gemar makan ulam-ulaman sebagai salah satu rahsia kecantikan dirinya.

Menurutnya, faktor utama dia menyertai MUM 2020 adalah kerana rasa yakin mampu melakukan persiapan lebih rapi kali ini dengan berbekalkan pengalaman terdahulu.

“Persiapan yang baik adalah elemen penting untuk menjadi ratu cantik disegani. Saya berhabis ribuan ringgit untuk penggunaan studio, sesi fotografi, latihan jalan pentas dan pengucapan awam.

“Tidak ketinggalan, saya nekad menggunakan khidmat pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini untuk gaun malam pada pertandingan ini,” katanya.

Menjadikan Ratu Cantik Universe 2018 dari Filipina, Catriona Elise Gray sebagai idola, Francisca mengakui gelaran MUM 2020 yang dipikul adalah satu tanggungjawab besar.

Katanya, gelaran itu memerlukannya sentiasa berhati-hati dalam pemilihan pakaian dan sentiasa menjaga tingkah laku di khalayak ramai.

“Sehari selepas menang, saya keluar rumah dengan berpakaian jean dan singlet. Tidak sangka ramai pula yang kenal dan minta bergambar. Jadi, saya terpaksa bersolek dahulu sebelum bergambar dengan peminat,” katanya sambil ketawa besar.

Ujarnya, pertandingan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkenalkan budaya, pelancongan dan makanan di negara ini ke peringkat antarabangsa.

“Fokus utama saya untuk mempersiapkan diri sebelum bertanding di pentas antarabangsa Ratu Cantik Universe 2020. Saya sangat seronok apabila segala persiapan mendapat bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak.

“Misi utama saya tidak lain untuk memenangi pertandingan itu atau sekurang-kurangnya meraih pencapaian membanggakan di sana. Ada juga tekanan dirasai kini misalnya untuk menaikkan sedikit berat badan kerana berpandangan itu boleh menambahkan kecantikan apabila menyarung gaun. Saya cuba makan banyak untuk menaikkan berat badan sedikit tetapi sukar mungkin kerana memiliki metabolisme badan tinggi,” katanya.

Berkongsi mengenai rahsia kecantikannya, Francisca berkata, dia banyak mengambil ulam-ulaman dan buah-buahan dalam diet harian.

“Saya selalu makan ulam raja dan ubi. Buah pula epal, betik dan tembikai.

“Saya juga banyak bersenam,” ujarnya.

Tidak sekadar mempertaruhkan kecantikan, Francisca juga melibatkan diri dalam aktiviti bersama pasukan Organisasi Ratu Cantik Universe Malaysia bagi menjayakan program sokongan (advocacy) Women Rise atau Kebangkitan Wanita.

FRANCISCA merupakan graduan dalam bidang perhubungan awam.

Salah satu projek sosial diusahakan Francisca adalah membantu wanita dari pelbagai latar belakang untuk berdaya maju.

“Projek yang dimulakan sekitar awal tahun ini menyasarkan wanita di Sabah dan Sarawak. Maklumlah di sana ramai wanita masih bergelut mencari peluang di luar. Kami sudah mengatur satu acara bersama sebuah kementerian untuk tujuan itu. Bagaimanapun, hajat belum kesampaian selepas dunia dilanda pandemik Covid-19,” ulasnya.

Menyentuh perancangan masa depannya, Francisca berkata, dia ingin membuka syarikat perhubungan awam sendiri selain mempunyai rancangan travelog yang dapat membantu mempromosikan keunikan Malaysia.

“Menerusi gelaran MUM 2020 ini, saya ingin memberi balik kepada masyarakat dan negara. Saya ingin membantu mempopularkan tradisi-tradisi unik di negara ini.
“Saya juga ingin bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal, anak yatim atau orang asal,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI