LENKA. Sepotong nama yang pernah mewarnai industri muzik antarabangsa dengan ledakan tersendiri.
Lagu The Show dan Trouble Is A Friend menjadi antara karya dendangannya yang pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu.
Tanpa kenal erti berputus asa, Lenka masih berjuang untuk berkarya walaupun agak susah untuk bersaing dengan penyanyi lain.
Menurut penyanyi dan penulis lagu Australia itu, muzik ibarat terapi bagi dirinya terutama ketika dirundung kesedihan.
“Saya masih berjuang disebabkan peminat.
“Saya suka menghasilkan muzik dan akan berasa tertekan jika tidak berbuat demikian.
“Membikin muzik ibarat terapi kerana saya sedih jika tak menghasilkan muzik,” kata penyanyi berusia 45 tahun itu.
Selain terapi, Lenka juga menyatakan bahawa perjuangannya dalam muzik tidak terhenti disebabkan harapan daripada peminat yang ternanti-nanti karyanya.
“Saya juga buat muzik juga untuk diri sendiri dan tidak terfikir mahu berkongsi dengan orang ramai tetapi peminat masih mengharapkan sesuatu daripada saya.
“Peminat juga menyatakan bahawa karya saya membantu mereka melalui masa sukar, ketika menghadapi saat putus cinta dan sebagainya.
“Perkara tersebut buat saya lebih bersemangat dan percaya dengan kemampuan diri sendiri,” ujarnya
Lenka Live In KL
Lenka atau nama lengkapnya Lenka Kripac ditemui sempena konsert solonya Lenka Live In KL yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu.
Kali terakhir, Lenka pernah singgah di Kuala Lumpur sebelum pandemik Covid-19 dan secara tidak langsung membuatkannya ‘berehat’ daripada melakukan sebarang konsert selama tiga tahun.
“Ini adalah konsert solo pertama saya. Sebelum ini, saya hanya datang sebagai artis jemputan.
“Sudah lama rasanya saya tidak menjayakan konsert berikutan pandemik Covid-19. Konsert terakhir saya di Australia, sehari sebelum kita semua ‘terpenjara’ disebab virus maut tersebut.
“Disebabkan pandemik, saya terpaksa batalkan jelajah di Eropah dan Amerika Syarikat.
“Jadi selepas tiga tahun rasanya mengambil masa agak lama untuk saya membuat persembahan,” tuturnya yang sempat menyajikan 16 buah lagu khas buat peminat Malaysia semasa konsert di Kuala Lumpur.