fbpx

Angkut rokok seludup di Kelantan, edar di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.

KUALA LANGAT – Kegiatan seorang penganggur menjadi ‘transporter’ sejak dua bulan lalu terbongkar apabila dicekup bersama 6,750 karton rokok tidak bercukai jenama SAAT di tepi jalan Klang-Banting, kelmarin.

Suspek lelaki berusia 33 tahun itu yang ditahan pukul 8.30 malam dikatakan menerima upah RM500 dengan mengambil bekalan seludup itu dari Kota Bharu, Kelantan untuk pasaran Johor Bharu, Johor.

Jarak antara kedua-dua lokasi tersebut dianggarkan lebih 600 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kejayaan itu hasil Ops Taring Landai yang dilaksanakan sepasukan pegawai polis dan anggota Unit Risikan Marin Pelabuhan Klang.

Katanya, ketika ditangkap lelaki tersebut membawa sebuah lori jenis Hicom.

“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 6,750 karton rokok tidak bercukai jenama SAAT yang dianggarkan RM337,500.

“Suspek mengambil rokok-rokok tersebut di Kota Bharu, Kelantan dan dipasarkan di sekitar Johor Bharu, Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, suspek mengaku perbuatan tersebut dilakukan sejak Mac lalu dengan dibayar RM500 bagi setiap satu perjalanan.

Tegasnya, hasil semakan juga mendapati suspek seorang penganggur dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI