PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa tiada lagi sebarang unsur sabotaj bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin olehnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Anwar berkata, melalui Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan semalam telah menetapkan satu bentuk kerajaan kukuh melalui gabungan melibatkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.
Katanya, biarpun pada peringkat awal terdapat percubaan berhubung akuan bersumpah (SD) yang disampaikan kepada peringkat Yang di-Pertuan Agong, namun kesepakatan parti dalam Kerajaan Perpaduan dilihat lebih kemas ketika ini.
“Dalam percubaan ini tidak ada salah dalam politik dan demokrasi, siapa pun boleh rebut kuasa ikut jalur yang sah. Tetapi dalam beberapa minggu atau lebih sebulan lalu, baik BN, PH, GRS, GPS, Warisan terutama yang besar bagi komitmen yang sangat jelas.
“Semalam kita adakan perhimpunan (Kerajaan Perpaduan) dengan pengukuhan itu jelas sekurang-kurangnya untuk bertahun-tahun akan datang tidak ada lagi layanan terhadap sebarang percubaan untuk sabotaj kerajaan sedia ada,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sumbangan penjawat awam dalam membangunkan negara ketika ini juga dilihat dapat meyakinkan pelabur luar dengan kestabilan ekonomi termasuk keadaan politik negara.
Jelasnya, perkara itu diperkukuhkan lagi dengan unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada suku pertama tahun ini berbanding pada akhir tahun lalu, ia termasuk statistik kadar inflasi kurang, jumlah pengangguran menurun, namun pelaburan bertambah.
“Pelaksanaan pelaburan itu penting, apabila pelaburan itu sampai ke negeri seperti Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak, maka pihak Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) harus bekerja sederap supaya tahap kelulusan itu dapat dipercepatkan.
“Ini memastikan negara dapat mempertahankan kadar pertumbuhan lebih meyakinkan dengan komitmen dan kesungguhan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE