fbpx

Dolla menerjah dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN DOLLA

KETIKA memulakan debut sekitar Mac lalu, kehadiran penyanyi berkumpulan wanita Dolla dalam industri menerima pelbagai respons daripada peminat industri tanah air.

Hal ini kerana konsep yang diketengahkan kumpulan yang terdiri daripada empat wanita muda itu persis dan begitu mirip dengan artis K-pop, baik dari segi muzik dan tarian.
Sehinggakan kumpulan yang dianggotai Sabrina atau Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya digelar sebagai Blackpink Malaysia gara-gara dikatakan meniru gaya kumpulan popular dari Korea Selatan itu.

Itu belum lagi menyentuh kritikan kurang enak yang ditimbulkan netizen untuk imej Dolla kerana dianggap terlalu seksi dan tidak sesuai jika ditonjolkan kepada umum.
Bukan sahaja menjadi buah mulut warga tempatan, kehadiran Dolla dalam industri turut mencuri tumpuan media antarabangsa yang menulis laporan tentang isu itu.

Portal yang terkenal dengan laporan berita artis K-pop, Allkpop baru-baru ini memuat naik sebuah artikel berjudul ‘Malaysian girl group Dolla denies they’re copying Blackpink’ yang menggunakan sumber laman berita tempatan.

MENERUSI single kedua Impikan atau Watch Me Glow, Dolla berlatih koreografi selama enam jam sehari kerana lagu berkenaan bersifat lebih rancak berbanding daripada Make You Wannna.

Bagaimanapun, Syasya atau nama sebenarnya Noor Syasya Afiqah Shahrizal menjelaskan bahawa asal-usul penubuhan kumpulan mereka langsung tiada kaitan dengan Blackpink.
Sebaliknya dia mengakui perkara itu dibangkitkan ramai orang mungkin kerana ada sedikit persamaan tertentu antara mereka.

“Sejujurnya kami bukanlah mahu dikaitkan atau meniru mana-mana artis K-pop. Sebab dalam tempoh ini, kami dalam fasa eksperimentasi untuk mencari identiti sendiri.

“Sebagai artis, sudah tentu kami mahu dikenali dengan nama dan imej sendiri tanpa meniru orang lain. Itulah perkara yang kami mahukan, supaya peminat kenal kami sebagai Dolla, bukannya seperti orang lain,” ujarnya ketika ditemui pada satu sesi temu ramah baru-baru ini.

Pun begitu, Dolla tidak dapat lari daripada mengakui kejayaan Blackpink yang dikenali seantero dunia ketika ini sedikit sebanyak menjadi inspirasi buat mereka.

Jika kemunculan single pertama Make You Wanna mereka mencetuskan persamaan itu, kali ini Dolla mengharapkan kehadiran lagu kedua berjudul Impikan akan mengubah pandangan peminat.

“Menerusi lagu kedua ini, peminat boleh nampak gaya dan karakter setiap ahli. Pendek kata, Impikan menyerlahkan sisi kekuatan semua ahli. Jadi menerusinya, Dolla sangat berharap peminat dapat menerima dan menilai identiti sebenar kami,” tutur Sabrina, 25.

ANGEL yakin suatu hari nanti kumpulan Dolla akan berpeluang mengadakan aktiviti promosi bertemu peminat secara langsung.

Nama besar

Menjelaskan lanjut tentang kehadiran single Impikan yang dilancarkan 30 Oktober lalu, Dolla cukup teruja kerana menyifatkan peluang yang hadir ini sebagai perkara yang tidak boleh disia-siakan.

Hal ini kerana, mereka sentiasa mahu mencipta kelainan dan menongkah arus dengan cara menerbitkan single berkenaan dalam dua versi iaitu Melayu dan Inggeris. Versi Inggeris diberi judul Watch Me Glow.

“Kedua-dua versi membawa maksud yang sama tetapi ada sedikit perbezaan dari segi cara mesej penyampaian. Jika Impikan berkisar tentang cabaran mengejar impian, Watch Me Glow pula lebih kepada motivasi untuk bangkit semula selepas kegagalan,” jelas Tabby atau nama lengkapnya Tabitha Ariel Lam.

Versi bahasa Melayu mendapat sentuhan penyanyi dan komposer muda berbakat besar Yonnyboii serta Loca Sickta, sementara Watch Me Glow pula dihasilkan oleh komposer antarabangsa iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar dan Karl Oscar Gummesson.

Komposer dari Sweden itu sebenarnya cukup terkenal sebagai orang kuat yang pernah menghasilkan lagu popular untuk artis-artis popular K-pop. Antaranya BTS, EXO, Red Velvet, Pentagon dan Loona.

SABRONZO berharap peminat dapat menilai dan menghargai identiti Dolla.

Artis norma baharu

Jika difikirkan semula, introduksi Dolla dalam industri dilakukan ketika negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Masih berdepan cabaran sama, perancangan pelancaran single kedua mereka juga jatuh pada waktu PKP Bersyarat yang sedang diwartakan ketika ini. Secara tidak langsung, situasi tersebut meninggalkan kesan buat karier Dolla.

Setiap perancangan aktiviti promosi yang sepatutnya dilakukan sempena debut mereka tidak menjadi. Adakalanya timbul pertanyaan dalam hati, apakah kehadiran mereka disedari umum?

Tidak mahu menyembunyi faktakan apatah lagi terus memendam kesedihan kerana belum berkesempatan merasai pengalaman bergelar artis dengan sebenar-benarnya, namun Dolla tetap optimis dengan apa yang berlaku.

TABBY mahu Dolla bertahan untuk terus memeriahkan industri muzik sebagai sebuah kumpulan wanita yang berjaya.

Melihat daripada perspektif positif, kumpulan itu percaya segala yang berlaku ada tersembunyi hikmah jauh lebih besar untuk dimengertikan.

“Tipulah kalau keadaan semasa tidak meninggalkan kesan kepada kami. Sejak debut, banyak perancangan perlu ditukar. Malah, lebih daripada itu, sebab kami langsung tidak pernah berpeluang untuk keluar melakukan aktiviti promosi.

“Semuanya dilakukan secara online dan kami tidak pernah lagi bertemu peminat secara empat mata di luar. Pendek kata, kami belum pernah merasa pengalaman seperti artis lain,” kata Syasya, 19.

SYASYA terkilan kerana belum menikmati suasana sebenar sebagai artis.

Terkilan dan kecewa, namun semua itu tidaklah bermakna Dolla langsung tidak dikenali orang.

Semua anggota kumpulan itu mengakui ada antara peminat yang tetap mengenali wajah mereka ketika berada di luar.

“Mungkin tidak seramai artis lain tetapi masih ada yang kenal kami.

Contohnya, ketika makan di restoran, ada peminat yang datang untuk ambil gambar.

“Kami yakin suatu hari nanti dapat merasa pengalaman seperti artis lain dan paling penting berpeluang berdepan dengan peminat,” tambah Angel yang berusia 19 tahun.

INTRODUKSI Dolla dalam industri dilakukan ketika negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI