LE MANS, Perancis – Pelumba pasukan Mooney VR46 Racing, Marco Bezzechi tampil cemerlang apabila meraih kemenangan dramatik pada perlumbaan MotoGP di Grand Prix (GP) Perancis, sebentar tadi.
Meskipun terdapat beberapa insiden kemalangan mencemari perlumbaan tersebut terutama melibatkan pelumba Aprilia, Maverick Vinales dan juara musim lalu, Francesco Bagnaia namun, Bezzechi bijak mencari ruang untuk memburu kemenangan di litar Le Mans.
Anak didik Valentino Rossi tersebut akhirnya membuktikan dia merupakan salah satu pencabar kejuaraan apabila melakar kemenangan keduanya musim ini selepas muncul juara di GP Argentina bulan lalu.
Pada saingan tersebut, pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dilihat mampu menjuarai saingan itu namun, terjatuh pada baki dua pusingan terakhir selepas dikejar pelumba Pramac Racing, Jorge Martin.
Martin berjaya meletakkan namanya di podium tempat kedua dan Johann Zarco menamatkan podium tempat ketiganya ketika bersaing di laman sendiri.
Hasil keputusan tersebut, Bezzecchi yang melangkah ke kelas perdana pada awal 2022 kini mengumpul 93 mata dan lebih menarik hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu kejuaraan, Bagnaia.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Brad Binder yang menamatkan saingan tempat keenam perlumbaan tersebut kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul 81 mata. -AGENSI
habis