fbpx

Petugas TH bersedia tunggu jemaah Malaysia di Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGARAH Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kanan) menyantuni kumpulan kedua petugas haji termasuk Pengarang Berita Kosmo!, Turmadzi Madun (tiga dari kiri) sebelum berlepas ke Tanah Suci di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang semalam.

KETIKA artikel ini ditulis, sebahagian petugas Tabung Haji (TH) yang membawa bersama petugas media telah berlepas ke Tanah Suci dengan satu misi penting.

Keberangkatan awal kami ke sana lebih kepada memahami tanggungjawab yang akan dipikul selama lebih dua bulan akan datang bagi menyantuni kira-kira 30,000 jemaah haji Malaysia tahun ini.

Kecekapan TH mengendalikan operasi haji jemaah Malaysia memang tidak dapat disangkal selepas ia mula beroperasi sejak berpuluh tahun lalu hingga menjadi buah mulut jemaah negara lain.

Bagi wakil media yang menjadi petugas TH tahun ini, sudah tentu kami bersyukur apabila dipilih menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah yang menjadi tumpuan di sepanjang bulan haji.

Tiada perkataan dapat diungkap bagi menzahirkan rasa terharu dan ucapan terima kasih kepada semua terutama majikan serta TH kerana memberi peluang kepada kami melaporkan mengenai jemaah tanah air sepanjang berada di haramain.

Sudah tentu, peluang ini akan digunakan oleh kami untuk bersama-sama melakukan ibadat haji yang merupakan salah satu daripada Rukun Islam.

Berbekalkan maklumat daripada taklimat ketika menjalani kursus haji, kami yakin TH mempunyai pengalaman yang amat luas dalam mengendalikan operasi haji termasuk jika terdapat kecemasan dan perkara di luar jangka berlaku.

Penyediaan modul, kaunter pertanyaan, penginapan, makan minum dan mesin pengeluaran wang automatik sudah diatur terlebih dahulu bagi memudahkan jemaah haji berurusan.

Hakikatnya, bukan mudah untuk berdepan dengan 1,001 ke­renah manusia apatah lagi ia melibatkan jumlah yang agak besar ketika berada di Tanah Suci.

Pelbagai gelagat, masalah, suka, duka dan lain-lain pasti akan muncul dan sejauh mana berat atau ringan sesuatu ujian itu bergantung kepada diri, niat serta ucapan yang keluar dari mulut masing-masing.

Jemaah haji bukan lagi main tangkap muat. Selain mempu­nyai wang mencukupi untuk menunaikan haji, perkara paling penting ialah kesihatan.

Mereka yang sudah menerima surat tawaran tetapi tidak lepas ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital yang ditetapkan, mereka tidak dibenarkan terbang ke Mekah.

TH mempunyai alasan tersendiri melakukan pemilihan ketat kerana mahu mengurangkan kadar kematian dan ketidakupayaan jemaah melakukan perkara rukun atau sunat haji ekoran dimasukkan ke hospital.

Bayangkan sudah sampai di sana tetapi ada jemaah tidak dapat berada di Arafah kerana sa­kit, alangkah sia-sia kedatangan mereka kerana gagal melaksanakan wukuf.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud ‘haji itu ialah wukuf di Arafah’.

Sebolehnya, jemaah dan ahli keluarga diminta tidak bersungut atau mengata TH kerana mereka ini lebih arif dan sudah tentu ada alasan tertentu di sebalik tindakan yang diambil.

Tidak sabar kami para petugas menyambut kedatangan kalian di tanah haram. Pasakkan tekad dan berdoalah semoga haji bagi orang yang berhimpun di Arafah pada tahun ini diterima Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI