SEBERANG PERAI – Nasib pasangan suami isteri dari Bukit Mertajam di sini, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila mereka berdua kini tidak dapat lagi bekerja menyara keluarga.
Junaidi Awang Kechik, 48, yang dahulunya bekerja sebagai kru teknikal sebuah syarikat pengurusan majlis kini terlantar akibat serangan kuman pada kaki kiri dua tahun lalu.
“Jika diikutkan saya memang tak jangka jadi begini selepas terpijak dawai kokot berkarat.
“Ketika itu tidak terfikir risikonya sebab ingat hanya luka kecil. Tak sangka jadi melarat sehingga menyebabkan jangkitan kuman dari bawah paras lutut hingga tumit kiri,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Bandar Perda baru-baru ini.
Menurut bapa kepada tiga anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) itu, doktor menyatakan tulang tumitnya terpaksa dibuang kerana jangkitan kuman yang semakin melarat.
“Sekarang tidak boleh aktif sangat, kaki sentiasa berbalut kerana bimbang akan ada luka baharu,” katanya yang turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan penglihatan kabur.
Cerita Junaidi, lebih memeritkan, isterinya, Noraniza Ismail, 46, yang mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bekerja kilang pula disahkan menghidap kanser payudara tahap ketiga tahun lalu.
Sementara itu, Noraniza berkata, meskipun tidak boleh bergerak aktif, dia terpaksa meneruskan kehidupan sambil dibantu anak sulung, Muhamad Fakhrul Izat, 23, menjual mi kari yang diletakkan di beberapa kedai makan sekitar Bandar Perda.
“Mujur ada anak sulung yang sering membantu menghantar mi ke kedai-kedai. Dia juga membantu menguruskan adik-adiknya di rumah.
“Disebabkan kerap mohon cuti kerana menguruskan keluarga, dia dibuang kerja, mungkin tiada rezekinya,” katanya yang menerima bantuan zakat sebanyak RM500 sebulan.
Antara perkara menggusarkan keluarga itu adalah mendapatkan barangan seperti pencuci luka, kapas, kain kasa dan lain-lain keperluan mencuci luka kaki Junaidi.
Selain itu, Junaidi juga memerlukan modal kerana perlu berulang-alik ke Hospital Seberang Jaya serta Klinik Kesihatan Bukit Tengah.
“Anak OKU kami yang berusia tujuh tahun pula memerlukan lampin pakai buang,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun Maybank Noraniza bernombor 1521-0800-8392 atau hubungi talian: 016-515 5659.