PETALING JAYA – Penyanyi Nomad, selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya,Farah Wahidah Hassan, dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Alor Setar, Kedah, semalam.
Katanya, majlis pernikahan yang hanya dihadiri ahli keluarga dan teman rapat itu diadakan sehari selepas majlis pertunangan mereka.
Berkongsi perasaan, Nomad atau nama sebenar, Nur Mohd Alieff Ayub, 35, mendedahkan bersyukur majlis pernikahan dengan suri hatinya berjalan lancar walaupun masih janggal membawa gelaran suami.
“Saya bertunang dengan isteri, kelmarin. Majlis akad nikah pula berlangsung pada pagi semalam. dengan mas kahwin sebanyak RM13,000.
“Alhamdulillah, segala persiapan perkahwinan yang dibuat pada saat akhir berjalan dengan lancar dan dipermudahkan,” kata penyanyi lagu Tetap Menantimu itu.
Menyentuh mengenai keputusan merahsiakan majlis tersebut, Nomad menjelaskan, dia enggan mendedahkan hal peribadi yang menjadi prinsipnya sejak dulu.
“Kenapa tidak pernah berkongsi kerana apa sahaja perkara yang belum pasti berkaitan dengan kisah hidup terutama dari segi percintaan, saya tidak akan dedahkan.
“Saya rasa apabila sudah sah, barulah saya boleh berkongsi. Ada beberapa perkara dalam hidup saya patut kongsi, saya akan kongsikan.
“Tapi, jika tidak perlu berbuat demikian, bermakna saya tidak akan buka mulut,” katanya lagi.
Sementara itu, hari bahagia Nomad dan Farah didedahkan kepada umum menerusi laman sosial penerbit drama, Fadzil Teh yang memuatnaik beberapa foto dan video sekitar majlis berkenaan.
Sebelum ini, Nomad yang pernah menyepi seketika selama lima tahun daripada industri hiburan, muncul semula pada 2020 dengan Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang meraih perhatian ramai. – KOSMO! ONLINE