MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag memuji persembahan yang dipamerkan oleh para pemainnya dalam perlawanan yang dianggap sangat penting ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers kelmarin.
United hanya berjaya meraih satu kemenangan dalam empat perlawanan termasuk tewas dalam dua perlawanan terakhir menyebabkan kedudukan mereka dalam kelompok empat pasukan terbaik agak goyah.
Bagaimanapun, kemenangan itu membolehkan mereka mempunyai kelebihan empat mata berbanding pencabar, Liverpool di kedudukan kelima serta menyamakan mata dengan Newcastle di kedudukan ketiga.
Dua jaringan berkenaan berjaya dijelmakan oleh Anthony Martial dan Alejandro Garnacho sekali gus Ten Hag mengakui ia memberikan suntikan moral buat United dalam mengharungi baki tiga lagi aksi musim ini.
“Kemenangan yang sangat penting. Kami bangkit selepas berdepan dua kekalahan kerana kami beraksi tanpa tenaga dan sangat perlahan. Hari ini, kami memerlukan kemenangan dan kami berjaya melakukannya.
“Kami berjaya membuatkan penjaga gol mereka menjadi pemain terbaik perlawanan. Kami sepatutnya menjadi lebih tajam di depan gawang dan perlu bekerja lebih keras untuk menjadikannya lebih sempurna,” katanya.
Mengulas mengenai Garnacho yang kembali buat kali pertama beraksi selepas tercicir dalam 12 perlawanan akibat masalah kecederaan, Ten Hag mengakui sangat gembira melihat bintang mudanya itu masih belum hilang bisa.
“Dia terpaksa berehat untuk tempoh beberapa minggu. Dia bekerja keras untuk kembali ke prestasi asal dan kali ini berjaya memberikan impak. Kami sudah melihatnya beberapa kali masuk dari bangku simpanan dan memberikan kesan buat pasukan,” jelasnya.
United akan berdepan Bournemouth untuk aksi seterusnya pada Sabtu ini. – AGENSI