fbpx

Anis Syahirah tidak suka duduk diam, bazir masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIS SYAHIRAH menyimpan hasrat untuk menceburkan diri dalam dunia korporat selepas tamat pengajian di USM.

“SEMUA orang adalah genius, namun jika anda menilai seekor ikan pada keupayaan untuk memanjat pokok, ia akan menjalani seluruh kehidupan dengan mempercayai perkara bodoh.”

Itu antara ungkapan dan kata-kata ahli psikologi tersohor, Albert Einstein yang dipegang salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM), Anis Syahirah Khairul Parman.

Dalam kesibukan menjalankan tugas MPP, dia tetap cemerlang dari segi akademik apabila berjaya menerima anugerah dekan sebanyak empat kali dalam Pengajian Bahasa Inggeris untuk Profesional di universiti itu.

Bagi Anis Syahirah, 23, dia sudah lama meminati bidang penggunaan bahasa Inggeris secara profesional kerana percaya ia merupakan satu keperluan bagi mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih tinggi.

“Saya bukan pelajar cemerlang dari segi akademik ketika zaman persekolahan. Apabila masuk universiti baru saya sedar kebolehan diri.

“Di sekolah, kita tidak boleh memilih apa yang kita suka, namun apabila di universiti, kita boleh pilih bidang yang kita suka.

“Dari situ kita boleh asah dan latih diri untuk berjaya dalam bidang terbabit,” katanya.

Selain mempunyai disiplin dan perasaan ingin tahu yang tinggi, Anis Syahirah juga begitu bijak mengurus masa antara pelajaran dengan aktiviti sebagai MPP.

“Saya mengurus masa dengan membuat jadual waktu di mana saya akan menyenaraikan tarikh akhir untuk setiap tugasan.

“Hal ini supaya saya dapat merancang masa dan aktiviti dengan lebih awal.

“Meskipun sibuk dengan MPP, namun tanggungjawab utama saya adalah sebagai seorang pelajar. Jadi, saya tetap kena dahulukan pelajaran,” ujarnya.

ANIS SYAHIRAH bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah aktif dalam pelbagai aktiviti di luar bilik kuliah.

Meneruskan perkongsian, anak bongsu daripada lima beradik itu menganggap tugas MPP sebagai satu landasan untuk meneroka dan menimba pengalaman sepenuhnya sebagai seorang pelajar.

“Saya seorang yang tidak boleh duduk diam. Apabila saya tidak aktif atau membabitkan diri dalam apa-apa program, saya rasa seperti membazir masa.

“Kita perlu menggunakan peluang yang disediakan di universiti dengan sebaiknya kerana kehidupan ketika belajar dan bekerja adalah tidak sama,” katanya.

Bercita-cita untuk menceburkan diri dalam dunia korporat, Anis Syahirah berkata, tugasnya dalam MPP terutama sebagai Ketua Exco Jabatan Perhubungan Luar banyak membantu mengasah kemahiran berkomunikasi lebih-lebih lagi dengan orang luar.

“Apabila saya bersosial dengan macam-macam orang terutama mereka yang berlainan latar belakang, minda saya menjadi sangat terbuka.

“Pada masa sama, saya dapat berfikir dengan lebih mendalam kerana setiap orang mempunyai pendapat berbeza terhadap satu-satu isu,” katanya.

Dalam pada itu, Anis Syahirah bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawan anjuran USM.

Antara aktiviti yang pernah disertainya ialah Siswa Kongsi: Santuni Gelandangan, Singgah Sahur: Santuni Siswa, Prihatin Ramadan dan English Zero to Hero Programme.

“Banyak yang saya perlu korbankan apabila menjadi MPP seperti tidur yang cukup dan masa bersama keluarga.

“Sekarang pun saya perlu menguruskan lima acara dan majlis besar.

“Memang sangat penat tapi ini apa yang saya mahu dan perlu lakukan untuk mendapat pengalaman lebih luas.

“Selalunya apabila berasa lelah, saya akan berhenti melakukan segala perkara yang memenatkan fizikal.

“Saya akan berehat dengan meluangkan masa menonton Netflix atau bersama keluarga selama dua hingga tiga hari,” tambahnya.

Pernah kecewa kerana tidak dapat menyambung pengajian ke luar negara, namun Anis Syahirah tidak patah semangat.

Dia menggunakan sehabis baik peluang yang disediakan oleh USM untuk mencapai hasrat menjejak kaki ke luar negara.

Anis Syahirah berkata, pencapaian mewakili USM ke Startup International League Competition 2022 dan memperoleh tempat kedua membuka peluang kepadanya untuk menjejakkan kaki ke Thailand.

“Ada hikmah saya tidak dapat peluang menyambung pengajian ke luar negara. Mungkin jika saya dapat, saya tidak cemerlang dalam akademik seperti di USM ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI