WASHINGTON – Seorang lelaki di New Jersey, Amerika Syarikat (AS) didakwa melakukan serangan dengan menyimbah secawan kopi panas ke arah konduktor kereta api selepas enggan membayar tambang, lapor akhbar New York Post semalam.
Kejadian itu berlaku di stesen kereta api Secaucus kira-kira pukul 5.15 petang (waktu tempatan) Isnin lalu, kata polis transit New Jersey, Christopher Trucillo.
Ketika pembantu konduktor berada di platform, Michael Wilson, 36, menghampirinya dan meminta izin untuk menumpang, tetapi enggan membayar.
Apabila konduktor itu menunjuk ke arah tempat membeli tiket, Wilson menyimbah kopi panas ke muka mangsa dan melarikan diri.
Menurut Trucillo, kopi panas itu memasuki mata, hidung dan mulut mangsa. Dia kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Kejadian itu menyebabkan pergerakan tren yang sesak terpaksa ditunda.
Wilson kemudian ditangkap dan didakwa melakukan serangan ke atas pekerja transit.
Ia merupakan kesalahan jenayah baharu yang ditandatangani oleh Gabenor New Jersey, Phil Murphy berkaitan gangguan terhadap pengangkutan awam.
Pesalah yang didakwa berdepan hukuman penjara tiga hingga lima tahun dan denda sehingga AS$15,000 (RM66,937). – Agensi