fbpx

Lebih 4,000 berhimpun bantah tiga pulau buatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kira-kira 4,000 penduduk berhimpun bagi membantah projek tiga pulau buatan di Teluk Kumbar hari ini. Gambar oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

BALIK PULAU – Kira-kira 4,000 penduduk berhimpun secara aman di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini bagi membantah perlaksanaan projek tiga buah pulau buatan di perairan Selatan Pulau Pinang.

Selain penduduk setempat, perhimpunan aman itu turut disertai ahli-ahli 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Penang Forum, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) dan juga Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Turut kelihatan menyertai himpunan aman itu adalah pemimpin parti-parti politik daripada Perikatan Nasional (PN) seperti pemimpin parti Gerakan Rakyat Malaysia, Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Ros berkata, pihaknya tidak akan menghentikan gerakan membantah projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) itu sehingga projek PSI serta projek-projek tambak laut yang sedang dirancang di negeri itu dibatalkan.

“Kami juga merancang untuk mengadakan perhimpunan membantah projek PSI di Parlimen dalam masa terdekat dan kami akan menyerahkan memorandum kedua bantahan projek ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selain itu, kami juga merancang menyerahkan memorandum bantahan projek ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon agar baginda dapat melihat nasib nelayan di Pulau Pinang,” katanya selepas menyertai Perhimpunan Aman, Bantah Projek Tiga Pulau di Sungai Batu, di sini hari ini.

Perhimpunan aman itu bermula pada pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Selain Ibrahim, antara yang berucap pada perhimpunan aman itu ialah Timbalan Pengerusi PenMutiara, Zakaria Ismail, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar dan aktivis Penang Forum, Khoo Salma.

Menurut Ibrahim, pihaknya juga mencabar Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk turun ke laut bersama para nelayan di kawasan Pulau Pinang Selatan yang bakal ditambak bagi melihat sendiri kekayaan sumber laut kawasan itu yang dipenuhi spesies ikan dan udang.

“Ketua Menteri dimaklumkan bahawa kawasan ini tidak banyak sumber laut dan hasil tangkapan berkurangan kerana apa sahaja maklumat yang Ketua Menteri dapat adalah daripada kajian yang berbayar.

“Kami cabar Ketua Menteri agar ikut nelayan ke laut untuk melihat sendiri hasil sumber laut yang banyak di sini malah Ketua Menteri juga tidak pernah bertemu dengan para nelayan untuk mendengar sendiri luahan kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI