KOTA BHARU – Dua beradik tiri dikhuatiri lemas semasa mencari etok di Sungai Tebing Tinggi, Bukit Kecil di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Fauzi Mat Yaacob, 29 dan adiknya, Mohd. Syah Iskandar Abdullah,10, dipercayai pergi ke kawasan tersebut bersama keluarganya pada pukul 9 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Zulkifli Osman berkata, semasa mencari etok, ibu mangsa, Siti Zubaidah Marican Mat Yassin, 45, melihat kedua-dua mangsa lemas dan meminta pertolongan.
“Wanita itu cuba membantu dua anaknya, namun dia turut lemas dalam kejadian tersebut. Siti Zubaidah bagaimanapun berjaya diselamatkan suaminya, namun kedua-dua mangsa pula dikhuatiri lemas,” katanya.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. – KOSMO! ONLINE