LEEDS – Hasrat Newcastle United untuk merakam kemenangan tidak kesampaian apabila diikat Leeds United 2-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road sebentar tadi.
Keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan Newcastle di tangga ketiga kerana masih berkelebihan tiga mata beserta jumlah perbezaan jaringan yang besar ke atas pasukan tempat keempat, Manchester United.
Begitupun, ia belum selamat buat The Magpies yang tidak boleh tercicir mata dalam baki tiga perlawanan terakhir jika enggan kedudukan mereka dipintas oleh pasukan tempat kelima, Liverpool.
Dalam aksi sebentar tadi, Leeds terlebih dahulu mengejutkan Newcastle dengan gol pertama menerusi percubaan bek kanan, Luke Ayling yang langsung tidak dikawal seawal minit ketujuh.
Newcastle kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti tidak lama kemudian selepas Alexander Isak dijatuhkan Maximilian Wober dan kesempatan itu disudahkan dengan baik oleh Callum Wilson pada minit ke-31.
Wilson memastikan The Magpies mendahului perlawanan itu dengan gol kedua, sekali lagi menerusi sepakan penalti pada minit ke-69.
Bagaimanapun, ia cuma bertahan 10 minit sebelum Leeds mencipta kebangkitan dengan jaringan penyamaan menerusi Rasmus Kristensen pada minit ke-79.
Newcastle gagal mengambil kesempatan dalam tempoh lima minit terakhir untuk mencari gol kemenangan walaupun Leeds terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Junior Firpo menerima kad kuning kedua pada minit ke-91.
Keputusan itu merencatkan perancangan Newcastle untuk menjarakkan diri sebagai pasukan ketiga dan kembali ke landasan kemenangan selepas tewas 0-2 kepada Arsenal minggu lalu. – KOSMO! ONLINE