KUALA NERUS – Lebih 15,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani peringkat Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini malam ini.
Rakyat mula memenuhi pekarangan universiti itu untuk memeriahkan program tersebut seawal pukul 6 petang.
Mereka bertambah ceria menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 8.45 malam.
Kehadiran Anwar turut disambut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, pelbagai juadah seperti nasi minyak, ayam masak merah dan gulai daging, ketupat, lemang, rendang ayam, satar, akok, pulut lepa, tapai dan keropok lekor disediakan untuk hadirin.
Seorang kakitangan swasta, Nura Adilah Mustapha, 48, berkata, dia mengunjungi Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama ahli keluarganya.
“Ramai juga jiran-jiran hadir bersama keluarga masing-masing untuk bertemu Perdana Menteri (Anwar) dengan lebih dekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE