Hasrat Tengku Nur Kamalia Aisyah Tengku Norkamarulhaizan untuk menjadi pelakon pernah ditentang ibunya. Semuanya gara-gara sikapnya yang lantang dan ditakuti akan menjadi gosip liar.
Namun Tengku Nur Kamalia Aisyah atau lebih dikenali sebagai Malia tidak putus asa dalam memujuk wanita berkenaan yang akhirnya lembut hati membenarkan gadis kelahiran Pulau Pinang ini mengejar cita-cita.
Kepada Kosmo! Ahad, Malia bercerita mengenai impiannya dan keinginannya untuk bergandingan bersama Sharifah Sakinah dan Beto Kusyairy, suatu hari nanti.
KOSMO! AHAD: Ceritakan tentang diri Malia.
MALIA: Satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Suka sukan hoki dan olahraga tetapi sekarang lebih gemar mencantikkan diri.
Kenapa pilih jadi pelakon?
Dari kecil Malia suka bercakap seorang diri dan gembira sebab dapat berlakon jadi orang lain. Senang cakap, berlakon memang buat saya gembira. Sebab tu saya pilih untuk jadi pelakon.
Kenapa ibu tentang cita-cita Malia?
Pada mulanya, ibu tak bagi sebab Malia seorang yang lantang, jadi ibu tak mahu saya terlibat dengan apa-apa masalah atau gosip.
Tapi Malia yakinkan dirinya tentang minat dan akhirnya ibu faham serta restu.
Ibu sentiasa pesan untuk Malia jaga akhlak, tunjuk contoh yang baik sebab dah jadi public figure dan jangan cakap lepas.
Permulaan karier sebagai seorang pelakon?
Malia popular di TikTok dan secara tidak sengaja, diperkenalkan abang yang pernah bekerja dalam satu syarikat produksi. Bermula dari situ Malia ditawarkan watak dalam Nusyuz Berkiblat Cinta.
Apa yang orang tak tahu mengenai diri Malia?
Seorang yang nakal, rebel tetapi senang untuk bergaul dengan orang baru tanpa ada masalah. Malia juga suka buat benda-benda girly macam mekap dan menyanyi. Malia juga kuat makan.
Perkara paling ditakuti?
Malia takut sangat dengan gempa bumi, sebenarnya saya takut dengan banyak perkara sebab Malia kuat ‘overthinking’.
Impian dalam kerjaya?
Bina empayar sendiri, dalam perniagaan, atau menjadi pengarah. Malia mahu lakonan memberi impak kepada orang lain.
Watak impian?
Teringin pegang watak jahat. Saya rasa muka, suara, cara, gaya saya memang sesuai untuk pegang watak antagonis.
Rahsia kecantikan Malia?
Keyakinan. Yakin dengan apa yang kita pakai, kulit kita sendiri. Bila kita suka dengan diri kita, orang lain akan suka kita juga.
Lelaki idaman?
Perlu ada budi bahasa dan hormati wanita. Saya paling tak boleh bertolak ansur dengan lelaki yang kasar. Cukup ada ‘common sense’. Bonus lelaki tinggi 180 sentimeter.