fbpx

Kapal tak boleh berlabuh dalam zon perikanan Pantai Puteri – Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD AKMAL (kiri) dibawa meninjau jeti nelayan pada Majlis Santai Raya dan Sesi Dialog bersama nelayan Tanjung Kling di Balai Nelayan Tanjung Kling, Kampung Hailam, Melaka. - Foto oleh AMRAN MULUP

MELAKA – Kerajaan negeri akan melihat semula pewartaan zon kapal di perairan dekat Pantai Puteri di sini bagi memastikan kapal yang bersauh tidak melanggar akta ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan negeri memandang serius isu kapal bersauh yang tidak mengikut pewartaan Jabatan Laut hingga memasuki zon perikanan.

Menurutnya, tindakan tegas boleh diambil ke atas kapal terlibat kerana tindakan itu menjejaskan pendapatan kira-kira 241 nelayan dari tujuh pangkalan di Pantai Kundor.

“Saya akan mengadakan perbincangan dan taklimat dengan Jabatan Laut termasuk agensi berkaitan serta nelayan terbabit berkaitan zon ini yang sebenarnya sudah lama diwartakan dalam tempoh dua minggu ini.

“Kita tidak mahu lagi kapal-kapal yang bersauh di Selat Melaka yang dikatakan banyak berlaku, melanggar peraturan yang ditetapkan kerana ia memberi kesusahan kepada golongan nelayan khususnya pukat hanyut untuk mencari rezeki.

“Kita juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas kapal-kapal yang bersauh jika memasuki zon perikanan,” katanya ketika menghadiri Majlis Santai Raya dan Sesi Dialog Bersama Nelayan Tanjung Kling di Balai Nelayan Tanjung Kling di sini, hari ini.

Isu kapal bersauh di sepanjang Perairan Pantai Puteri sudah berlarutan sejak 2017 dan menjejaskan sumber rezeki nelayan pukat hanyut sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI