SEBERANG PERAI – Perikatan Nasional (PN) melahirkan keyakinan bahawa gabungan parti itu mampu menawan Pulau Pinang biarpun berdepan persaingan sengit menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, gabungan antara Bersatu, Pas dan Gerakan dijangka akan memberi cabaran hebat menerusi semua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, umum mengetahui keenam-enam negeri yang bakal mengadakan PRN memiliki ranking’ masing-masing namun Pulau Pinang antara yang paling mencabar bagi PN.
“Bagaimanapun, cabaran tidak melemahkan semangat kami apatah lagi apabila sokongan terhadap PN semakin meningkat.
“Berdasarkan kajian yang kita buat, sokongan terutamanya daripada pengundi bukan Melayu semakin bertambah ekoran mereka semakin menyedari pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin ‘caca merba’.
“Jika sebelum ini PN menyasarkan mahu menjadi pembangkang yang kuat, namun kali ini kita yakin gabungan parti komponen ini berkemungkinan boleh menjadi kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan yang ada ketika ini,” katanya ketika mengulas mengenai persediaan PN terutamanya Bersatu dalam berdepan PRN negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, perbincangan mengenai kerusi sudah selesai biarpun belum dimuktamadkan di peringkat pimpinan PN Pusat. – KOSMO! ONLINE