JEMPOL – Reman 10 ahli kongsi gelap berusia 19 hingga 34 tahun yang berjaya ditangkap sebelum tercetusnya pergaduhan di Bahau, 9 Mei lalu yang tamat hari ini disambung tiga hari lagi sehingga Selasa depan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan membabitkan suspek yang mempunyai tattoo di bahagian badan dan gambar simbol ’36’ di dalam telefon.
“Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan berkaitan tangkapan kumpulan ini. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan (Memiliki senjata- senjata maut dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang) serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Memiliki senjata berbahaya di tempat awam),” katanya hari ini.
Terdahulu, Chang Hook dalam satu kenyataan memaklumkan kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan dalam masa terdekat.
Menurutnya, kira-kira pukul 8 malam, pihak polis telah menerima makluman mengatakan sekumpulan lelaki India sedang berkumpul di hadapan sebuah rumah di Bahau dipercayai hendak melakukan pergaduhan. – KOSMO! ONLINE