PHNOM PENH – Ketika ramai bangga dengan larian pantas pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023, ‘pakar’ pecut negara, Shereen Samson mengakui terpaksa berlari dengan kesedihan pada acara 4×400 meter (m) semalam.
Situasi ini disebabkan dia mendapat khabar duka apabila neneknya, mendiang M. Rajammah berusia 86 tahun meninggal dunia akibat sakit tua, Khamis lepas.
Berita duka itu jelas menganggu tumpuan atlet berusia 25 tahun itu namun dia memilih untuk terus berbakti kepada negara dengan menghabiskan larian dalam acara 4x400m wanita semalam
Meskipun tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat dalam acara berkenaan, Shereen seharusnya diberikan pujian kerana tetap memberikan komitmen tinggi dengan mempamerkan larian bertenaga dalam acara berkenaan.
“Saya tetap memberi tumpuan untuk menghabiskan larian. Secara jujur, saya memang sedih namun kita tetap perlu berikan terbaik untuk negara namun pada acara berkenaan tidak berjaya membawa pulang pingat,”kata Shereen.
Acara 4×400 m wanita semalam menyaksikan kuartet dari Vietnam memenangi pingat emas dengan catatan masa 3minit 37.75 saat manakala Filipina dikedudukan kedua (3:39.29) dan wakil Thailand memenangi gangsa (3:39.29).
Shreeen juga mencipta rekod 400m kebangsaan dengan masa 51.80s meraih tumpuan apabila memenangi emas dalam acara 400m individu wanita, Selasa lepas. – KOSMO! ONLINE