fbpx

Saya di sini, kalian pergi cari Malique – Joe Flizzow

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOE FLIZZOW menegaskan tidak pernah ada permusuhan antaranya dengan Malique yang sebelum ini pernah menganggotai Too Phat.

PETALING JAYA – “Saya di sini, kalian pergi cari dia (Malique).”

Itu respons Joe Flizzow menjawab pertanyaan apabila ramai yang menginginkan dia bersatu semula Malique sekali gus menghidupkan semula jenama Too Phat yang pernah menjadi antara pencetus terbesar muzik hip hop negara.

Kata Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak berkata, dia dengan Malique tidak pernah ada sebarang permusuhan atau bad blood cuma kini, haluan mereka berdua berbeza.

“Saya punya 50 peratus, saya dah letak.

“Selebihnya, terpulanglah saya tak boleh cakap bagi pihak dia. Saya pun tak rasa dia (Malique) nak bercakap (tentang perkara ini),” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.

Ujar Joe, 44, dia tidak merasakan Malique ingin berkongsi pentasnya buat masa sekarang.

Bagaimanapun, dia yakin kolaborasi antara mereka boleh tercetus atau bermula menerusi satu rakaman lagu.

“Lebih munasabah kalau kami mula dengan satu lagu. Nak jemput dia berkongsi pentas dengan saya dalam konsert buat seseorang yang dah lama tak ‘perform’ depan khalayak ramai, saya tak rasa dia ingin.

“Saya rasa kalau dia nak buat kemunculan semula sebagai penghibur, saya rasa dia akan buat solo sebagai Malique.

“Dia pun dah bina jenama sendiri sebagai artis solo. Lebih munasabah kalau dia kembali dalam industri sebagai Malique, bukan Too Phat,” ujarnya.

Ditanya sama ada masih berhubung dengan Malique yang sudah lama hilang dari radar dunia muzik, jawab Joe: “Saya dah lama tak jumpa dia. Sejak pandemik dah tak (jumpa atau berhubung).

“Tak pernah ada bad blood antara kami. Saya sekarang sedang usahakan satu projek yang memerlukan kerjasamanya.

“Sebenarnya, tentang Too Phat ada projek akan datang yang saya tak boleh kongsi buat masa sekarang.”

Sekadar info, selepas album kompilasi Too Phat, Too Furious dikeluarkan pada 2007, duo rap itu mengumumkan pembubaran mereka.

Joe bakal mengadakan konsert solo pertamanya, Joe Flizzow – This is Johan Live In Concert selepas 15 tahun bergerak secara solo.

Konsert solo tersebut bakal berlangsung di JioSpace, di sini, pukul 8.30 malam pada 15 Julai depan.

“Walaupun membesar di Subang Jaya, tetapi Petaling Jaya bandar yang sangat dekat dengan jiwa saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI