fbpx

Kejayaan berliku graduan kudung kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Muiiz (dua kanan) menerima skrol Diploma daripada Mohd. Noor pada konvokesyen di Banting, hari ini. - FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED

KUALA LANGAT – Keperitan seorang penuntut Politeknik Banting Selangor (PBS) menempuh sesi pengajian dengan berkaki kudung akibat kemalangan dibalas dengan kejayaan menggenggam segulung Diploma, hari ini.

Abdul Muiiz Hakim Khairul, 23, kehilangan kaki kiri selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Jambatan Sultan Yusuf Teluk Intan, Perak pada 3 November 2020.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, tragedi hitam berkenaan bagaimanapun tidak sesekali melunturkan semangat untuk meneruskan baki pengajiannya dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

“Biarpun sebelah kaki ini gagal diselamatkan akibat hancur pada lutut dan peha, saya tekad mahu meneruskan pembelajaran ketika semester kelima itu.

“Berstatus sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menjalani rehabilitasi, saya menyelesaikan latihan praktikal di PBS dan menamatkan pengajian yang penuh berliku pada Februari tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen PBS kali ke-12 di Banting, di sini, hari ini.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu antara 341 graduan yang menerima diploma diserahkan Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd. Noor Shahudin.

Menurut Abdul Muiiz, kejayaannya itu juga hasil dorongan dan sokongan kuat pelbagai pihak terutama bapa, Khairul Haris, 56, serta ibunya, Normah Mohd. Yazid, 52.

Tambahnya, dia juga menghargai jasa pihak pengurusan Pusat Rehabilitasi Melaka dan Hospital Teluk Intan yang membantu saya menangani pelbagai masalah sebagai OKU.

“Saya kini menceburi perniagaan air soya dan bubur Korea berhasrat mengembangkannya sehingga peringkat antarabangsa. Prinsip saya adalah sentiasa mensyukuri nikmat Allah dan menerima kekurangan diri selain tidak berputus asa dalam hidup,” tegasnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI