SEREMBAN – Gerai Kosmo! – Tobaki Pink Racing antara 45 gerai pempamer yang menjadi tumpuan sempena Karnival Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-77 di Dataran Centrio Seremban 2, di sini, hari ini.
Pemilik Pink Racing, Nur Atikah Azwar berkata, rata-rata pengunjung tanpa mengira usia tertarik dengan motosikal dan kelengkapan sukan permotoran termasuk t-shirt berwarna pink.
“Malah, ramai juga yang sudah mengetahui kewujudan Pink Racing Team di arena permotoran negara ini yang mana saya juga merupakan salah seorang pelumbanya.
“Penerimaan yang baik ini mampu menjadi platform buat Pink Racing Team dalam menarik lebih ramai lagi pelumba wanita untuk sukan permotoran di negara ini. Tahun ini kita mempunyai lima pelumba lelaki dan masih tiada pelumba wanita,” katanya ketika ditemui sempena karnival berkenaan, di sini, hari ini.
Karnival Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-77 bermula semalam hingga esok mensasarkan sebanyak 10,000 kehadiran pengunjung dan Kosmo! merupakan antara penaja bagi Pink Racing Team.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk pemeriksaan serta penukaran minyak enjin (motosikal) percuma, Kaunter Van Mobile JPJ/PDRM, Jualan Nombor Pendaftaran Kenderaan, Pameran Teknologi Automotif dan persembahan artis tanah air. – KOSMO! ONLINE