PETALING JAYA – Setiap kali ada artis ternama antarabangsa ingin mengadakan konsert di Malaysia, pasti ada sahaja bantahan tanda protes daripada golongan ekstremis agama yang tidak bersetuju dengan penganjuran acara sedemikian.
Pengumuman kumpulan Coldplay ke Malaysia yang dijadualkan bertandang ke Kuala Lumpur pada 22 November bersempena siri jelajah, Music Of The Spheres World Tour turut memperlihatkan senario serupa.
Terpanggil menyatakan pendirian, penyanyi Baby Shima berpendapat, sesiapa yang berasakan konsert tersebut sebagai sesuatu yang bersifat haram di sisi agama, adalah lebih baik tidak datang untuk menonton.
“Konsert di Malaysia tiada masalah pun. Siapa nak tengok, pergi tengok. Siapa yang kata haram, jangan datang. Duduk rumah, duduk surau. Apalah susah sangat, hidup itu pilihan,” coret penyanyi dangdut itu menerusi Instagram
Ujar Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli hidup ini mudah dan didatangkan dengan pilihan.
Pelantun lagu Pura Pura Bujang itu turut menempelak pendekatan digunakan segelintir golongan pandai agama yang seperti kata bidalan, kuman di seberang laut nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak.
“Kalau bab artis laju je nak tumpang. Kena puak sendiri, senyap seribu bahasa.
“Dia dan puak-puak dia yang selalu keluar fatwa #walaun,” tulisnya lagi menerusi InstaStory.
Terdahulu, pendakwah bebas PU Syed membantah penganjuran konsert Coldplay dan menyifatkan kedatangan kumpulan terbabit tidak memberi manfaat kepada ummah.
Katanya Syed atau nama lengkapnya, Syed Mohd. Bakri Syed Ishak budaya hedonisme atau hiburan dalam masyarakat perlu dihentikan.
Kunjungan sulung Coldplay ke Kuala Lumpur November nanti turut mendapat bantahan daripada pemimpin PAS, Nasrudin Hassan.
Menurutnya, vokalis utama Coldplay, Chris Martin merupakan seorang menyokong gaya hidup songsang, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) hanya kerana mengibarkan bendera pelangi pada salah satu siri konsertnya sebelum ini. – KOSMO! ONLINE