SEGAMAT – Pasangan warga emas yang menaiki motosikal ditemui lemah di tepi jalan kerana tidak tahan dengan cuaca panas ketika dalam pejalanan pulang ke kediaman mereka di Kampung Tenang, Labis, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, tindakan pasangan tersebut mendapat perhatian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang melakukan rondaan di lokasi terbabit sebelum membantu mereka pulang ke rumah.
Menerusi sebuah hantaran Facebook Polis Daerah Segamat berkata, Lans Koperal Izzat bersama Lans Koperal Johan telah ternampak pasangan tersebut sedang terbaring di tepi jalan, sekitar pukul 3.50 petang.
“Hasil temubual mendapati pasangan tersebut hampir pitam kerana cuaca panas semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tenang, Labis, Johor apabila setelah selesai urusan di Segamat.
“Pasangan warga emas tersebut tidak dapat menunggang motosikal mereka bagi meneruskan untuk pulang ke rumah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut hantaran itu, Lans Koperal Johan telah menunggang motosikal milik pasangan tersebut ke rumah mereka dan pasangan itu dihantar menggunakan kenderaan pasukan Lans Koperal Izzat.
“Ketika itu, keadaan warga emas tersebut agak tidak stabil untuk memandu. Bagaimanapun, keadaan warga emas tersebut kini berada dalam keadaan baik dan memerlukan rehat secukupnya,” katanya.
Justeru, PDRM menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca panas kini dan sentiasa memberikan perhatian terhadap anak-anak kecil dan warga emas supaya tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas. – KOSMO! ONLINE.