fbpx

Dua bulan sel kanser mengganas, Liyana Jasmay hilang ibu, kawan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIYANA (kanan baju hitam) ketika menyiram pusara arwah ibunya hari ini.

HULU KLANG – Walau dirundung duka kehilangan bonda tercinta Datin Habsah Simpon akibat kanser limfoma tahap empat, Liyana Jasmay bersyukur apabila berpeluang menjaga insan kesayangannya itu.

Kata pelakon dan penerbit itu, ibunya itu tinggal di bawah jagaannya selama 11 hari sebelum ditempatkan di wad HDW (wad kebergantungan tinggi) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dua minggu lalu.

Menurut anak bongsu daripada empat bersaudara itu, Allahyarham disahkan menghidap kanser yang jarang berlaku iaitu CNS limfoma Central nervous system (CNS) yang memasuki tahap empat pada 28 Mac lalu.

“Pada awalnya mama mengadu sakit mata sampai tak nampak yang membuatkan kami membawanya menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta.

“Arwah sempat membuat pembedahan mata dan selepas itu saya bawa tinggal di rumah saya.

“Apabila kesihatan mama menurun pada 28 Mac lalu, saya membawanya ke unit kecemasan kerana mama kelihatan pelik seperti tidak dapat mengimbangkan badannya. Daripada pemeriksaan doktor mendapati terdapat tumor pada otak mama.

“Dalam masa tidak sampai dua minggu, mama tidak boleh bercakap dan dia kemudian dirujuk ke pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya kepada Kosmo Online hari ini.

Pelakon Papadom itu ditemui selepas pengebumian arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah Hulu Klang, sekitar jam 3 petang tadi.

Jenazah dikebumikan berdekatan pusara suaminya, Datuk Jasmay Md Shah, menghembuskan nafas terakhir di usia 68 tahun akibat penyakit kanser paru-paru, pada 17 Disember 2021.

Allahyarham Habsah meninggal dunia di HKL pagi tadi selepas dua bulan bertarung dengan penyakit kanser yang jarang ditemui.

Sementara itu, kata Liyana lagi, kesemua adik beradiknya berada di hospital sejak awal pagi dan di sisi ibu mereka yang menghembuskan nafas terakhir pukul 8.30 pagi.

“Syukur kami berada di sisi mama. Sebenarnya sejak semalam lagi hati saya rasa tak sedap.

“Kiranya dalam tempoh dua minggu ini mama memang tidak sedarkan diri, tetapi kami sentiasa datang tengok keadaannya.

“Sejak hari Isnin juga tahap kesihatannya semakin menurun, jadi apabila malam tadi doktor maklumkan keadaan mama serius, kami semua berkumpul di hospital.

“Mama pulang ke negara abadi pada hari Jumaat. Kami reda dengan ketentuan Allah. Doakan mama kami.

“Saya bersyukur dapat menjaganya ketika hayat terakhir. Sebelum ini saya dan suami juga berpeluang membawa mama bercuti pada Mac lalu,” katanya.

Sekitar 100 kenalan dan ahli keluarga terdekat termasuk Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Sazzy Falak, Zul Huzaimy, Bade dan Datin Paduka Umie Aida memberi penghormatan terakhir.

Urusan solat jenazah pula disempurnakan di Masjid Al Iman Kemensah Heights, di sini.

Liyana, 35, mempunyai tiga lagi adik beradik iaitu Juzaili Jasmay, 46, Faradilla Jasmay, 43 dan Adriana Jasmay, 41. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI