PORT DICKSON – Cuaca panas yang melanda ketika ini dijangka akan turut memberi kesan kepada kehadiran pengunjung ke pantai peranginan termasuk di Port Dickson.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, aktiviti pelancongan di Negeri Sembilan masih berjalan seperti biasa, namun menasihatkan pelancong supaya sentiasa mengambil langkah perlu dan berwaspada dengan suhu cuaca yang dikeluarkan.
“Dalam keadaan panas dan cuaca tidak begitu baik (ketika ini) kemungkinan akan memberi kesan kepada kedatangan pelancong.
“Setakat ini aktiviti pelancongan masih berjalan seperti biasa, kehadiran pelancong juga sama. Setakat ini masih baik, namun kita tidak tahu lagi keadaan dalam tempoh dua hari atau seminggu lagi macam mana keadaan cuaca, jadi perlu sentiasa berhati-hati,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Aminuddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri turut melancarkan Aplikasi Clique MPPD yang merupakan aplikasi sehenti untuk pembayaran elektronik kepada pihak MPPD.
Beliau berkata, MPPD merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua di negara ini selepas Majlis Bandaraya Seberang Perai, Pulau Pinang yang menyediakan perkhidmatan itu. – KOSMO! ONLINE