PETALING JAYA – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam direman satu hari berhubung sebuah video tular yang didakwa menghina Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Lokman ditahan sekitar pukul 11 malam semalam selepas satu laporan telah dibuat terhadapnya.
“Siasatan telah dimulakan ke atas sebuah video yang telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Lokman Noor Adam.
“Hasil siasatan mendapati video tersebut mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan yang jelik sifatnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian
“Dia juga disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan.
“Gajet yang dipercayai digunakan untuk memuat naik video yang tular tersebut turut dirampas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Huzir menegaskan siasatan yang dijalankan adalah secara profesional dan adil tanpa menerima tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak.
Semua pihak turut digesa memberi ruang bagi melengkapkan siasatan secara telus dan adil. – K! ONLINE