KOTA BHARU – Kerajaan menetapkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ketika ini perlu mempunyai perancangan teliti dalam memastikan terdapat corak perubahan ketara aspek pembangunan di Pantai Timur khususnya di Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu seharusnya dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebelum pembinaan ECRL siap sepenuhnya.
Menurutnya, sehubungan itu, kerajaan negeri dan majlis perbandaran perlu memanfaatkan kemudahan ECRL sekali gus mencari jalan selain kaedah baharu dalam mencetus perubahan.
“Sektor pengangkutan (ECRL) ini bukan sahaja untuk orang ramai dan rakyat, sebaliknya ia juga digunakan untuk mengangkut bahan-bahan pengeluaran, pertanian dan industri.
“Kita lihat, Kelantan khususnya kurang mendapat perhatian kerana tiada pelabuhan di sini. Jadi, aspek pengangkutan ini dilihat akan memudahkan untuk mengangkut pengeluaran hasil pertanian dan industri selepas ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL Tunjong di Bandar Baru Tunjong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sehubungan itu, semua pihak termasuk kerajaan dan kerajaan negeri perlu melakukan tindakan agresif dengan menarik pelabur dengan menjamin beberapa insentif baharu di Kelantan.
Menurutnya, beliau juga berharap kerajaan negeri Kelantan dapat mempercepatkan kelulusan dalam satu-satu projek yang bakal dijalankan di negeri ini.
“Kita (kerajaan pusat) mendapat keluhan daripada pelabur-pelabur dari China yang memaklumkan bahawa proses kelulusan menjadi masalah semasa berunding, baru-baru ini.
“Jadi, saya percaya jalinan lebih akrab antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan memudahkan pelaksanaan projek sekali gus memberi manfaat khususnya kepada Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE