KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor menafikan dakwaan peneroka kelapa sawit mengenai pengambilan tanah di Mukim Bestari Jaya, di sini, demi kepentingan syarikat dan tidak mengutamakan kebajikan penduduk setempat.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata, kerajaan negeri komited memastikan keharmonian dan pembelaan sewajarnya kepada rakyat.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati itu, perkara berkenaan tidak wajar dibangkitkan peneroka kerana lot tersebut hak milik Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) yang dikategorikan sebagai tanah bencah di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Selangor 2025.
“Saya telah menemui tiga wakil peneroka semalam selepas kerja dimulakan oleh syarikat Hasil Perangsang Resources Sdn. Bhd. (Hasil Perangsang) mendapat tentangan (peneroka sawit).
“Menerusi hasil perbincangan itu, peneroka faham bahawa tanah berkenaan bukan milik mereka dan perlu mengosongkan tapak apabila kontraktor memulakan kerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular satu video berdurasi lebih seminit bertajuk ‘Nasib orang Selangor indah khabar dari rupa’ memaparkan sekumpulan peneroka yang tidak berpuas hati dengan pengambilan tanah sawit.
Juwairiya memberitahu, pertemuan itu turut membincangkan isu peneroka memohon pampasan sewajarnya diberikan dan arahan pemberhentian kerja diberikan sementara proses rundingan berlaku bersama pihak syarikat dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE