PELUMBA berpengalaman, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki membuktikan dirinya memang ‘pakar’ dalam acara lebuh raya selepas meraih pingat emas pada acara lepas beramai-ramai individu lelaki pada saingan Sukan SEA Kemboja 2023 semalam.
Nur Amirul yang sebelum ini meraih pingat perak untuk acara kriterium lelaki mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mendominasi perlumbaan sejauh 150.6 kilometer (km) yang berlangsung di Angkor Wat, Siem Reap itu.
Pelumba berusia 31 tahun itu berjaya memastikan emas milik Malaysia selepas merekodkan catatan masa 3 jam 22 minit 50 saat untuk menewaskan wakil Indonesia, Aiman Cahyadi di tempat kedua dan jaguh Filipina, Ronald Oranza di tempat ketiga.
Menurut Nur Amirul, pengorbanan meninggalkan isteri dan dua anak berusia satu dan lima tahun untuk sertai kem latihan ternyata berbaloi apabila berjaya menghadiahkan dua kilauan pingat untuk negara.
“Apa yang boleh saya katakan kejayaan ini adalah kerjasama berpasukan yang sentiasa komited dalam mengekalkan kayuhan hingga ke garisan penamat.
“Saya melakukan persiapan rapi untuk bersaing di Sukan SEA Kemboja kali ini termasuklah memastikan keadaan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik kerana saingan daripada peserta lain cukup hebat.
“Cabaran utama adalah terpaksa meninggalkan keluarga terutama anak-anak yang masih kecil demi melakukan persiapan rapi sebelum ke sini,” katanya.
Sebagai rekod rekod, Malaysia merupakan penyandang emas untuk kategori ini selepas Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff meraih emas pada acara yang sama di Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi tahun lalu.