ROM – Jurulatih sensasi, Jose Mourinho semakin hampir untuk menjulang satu lagi kejayaan di pentas tertinggi selepas pasukan kendaliannya, AS Roma mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Bayer Leverkusen pada aksi pertama separuh akhir Liga Europa, awal pagi semalam.
Jaringan tunggal Edoardo Bove meletakkan AS Roma kini sebelah kaki di pentas akhir untuk memastikan final kedua buat Mourinho bersama kelab Itali itu selepas menjulang trofi Liga Konferens Europa, musim lalu.
“Semuanya bergantung kepada pemain kerana mereka bermain dengan penuh kemahuan dan memiliki mentaliti yang betul. Saya dapat merasakan sokongan daripada penyokong.
“Begitu juga dengan pemain, mereka menunjukkan tindak balas dan kemahuan kami sekarang adalah untuk menghadirkan kegembiraan buat penyokong,” kata Mourinho.
Beliau juga pastinya lega untuk meraih kemenangan ini memandangkan berdepan masalah kecergasan pemain yang menyaksikan barisan bintang seperti Paulo Dybala dan Georginio Wijnaldum hanya dimasukan pada 15 minit terakhir.
Jika mampu menjuarai saingan kali ini, ia akan melengkapkan trofi kedua buat Mourinho selepas melakukannya pada 2017 bersama Manchester United.
Sementara itu, Bove menyifatkan kejayaan kali ini adalah perkara terpenting buat AS Roma dan ia menjadi hasil paling berbaloi selepas seluruh pasukan bekerja keras sepanjang perlawanan.
“Leverkusen berjaya memberikan kesukaran hingga memaksa kami mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Sudah pasti saya begitu gembira dengan keputusan ini kerana kami perlu memenangi perlawanan pertama sebelum berkunjung ke tempat lawan,” kata Bove.
Aksi separuh akhir kedua di Bay Arena dijadualkan akan berlangsung 19 Mei ini menyebabkan Roma perlu lebih waspada berdepan sokongan padu penyokong tempatan selain Leverkusen pastinya turun dengan aksi bermati-matian untuk mencari kemenangan. – Agensi