KETIKA saingan temasya Sukan SEA Kemboja 2023 hanya berbaki empat hari, harapan kontinjen Malaysia untuk capai sasaran 40 pingat emas pada kejohanan sukan berprestij Asia Tenggara itu dilihat agak tipis.
Meskipun sudah melepas angka separuh pingat yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, beberapa acara lubuk emas kontinjen negara seperti olahraga, renang, terjun, silat dan karate sudah pun berakhir.
Peluang dilihat agak sukar kerana secara realistik, acara sukan yang dipertandingkan semakin sedikit dengan prospek pingat kini tertumpu kepada angkat berat, hoki dan badminton.
Malah, setakat keputusan pingat semalam, kontinjen negara sudah jauh ditinggalkan oleh seteru tradisi, Singapura.
Situasi tersebut sekali gus memberi bayangan kemungkinan besar kita akan menamatkan saingan di bawah kontinjen ‘sebarang tambak’ buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2021 di Vietnam tahun lepas.
Ketua kontinjen (CDM) Sukan SEA ke-32 negara, Datuk Mohd. Nasir Ali mengakui kejayaan skuad negara melepasi angka 20 pingat emas sedikit melegakan memandangkan separuh daripada sasaran yang ditetapkan sudah direalisasikan.
Namun, Mohd. Nasir percaya perjalanan pada temasya kali ini masih lagi jauh dan apa sahaja boleh berlaku sehingga ke penghujung saingan nanti memandangkan banyak elemen kejutan daripada atlet negara.
“Kita sudah halfway (separuh) daripada sasaran, tetapi apa yang saya boleh katakan masih long way to go (jauh lagi perjalanan). Secara peribadi, saya akui banyak sasaran kita sudah terlepas dengan beberapa acara tidak menepati jangkaan.
“Apa yang pasti, saya kekal positif kerana ada beberapa kejutan yang telah ditampilkan oleh kontinjen Malaysia kali ini dan mereka telah ganti beberapa pingat emas yang hilang sebelum ini.
“Seperti yang kita maklumkan sebelum berlepas sebelum ini, negara sudah kehilangan 18 pingat emas untuk dipertahankan selepas acara edisi 2021 di Vietnam tidak dipertandingkan.
“Masih ada berbaki beberapa hari lagi saya percaya apa sahaja boleh berlaku,” katanya.