fbpx

Milan bergegar, van bawa tong oksigen meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah van membawa silinder oksigen terbakar dan meletup di bandar raya Milan semalam. - Foto SkyTG24

ROM, Itali – Satu letupan besar menggegarkan bandar raya Milan,  menyebabkan sebilangan  kenderaan terbakar termasuk sebuah van membawa silinder gas oksigen, lapor portal berita Wion News semalam.

Menurut akhbar La Repubblica, kira-kira lima buah kereta dan empat basikal berenjin terbakar di samping sebuah bangunan pangsapuri serta farmasi berhampiran.  Polis mengepung kawasan Porta Romana tempat letupan itu berlaku.

Pelajar-pelajar di sebuah sekolah berhampiran segera dipindahkan. Menurut akhbar berkenaan, silinder- silinder gas oksigen yang terdapat di dalam van tersebut meletup dan mencetuskan letupan domino. 

Beberapa saksi berkata, pemandu van keluar dari kenderaan selepas menyedari ia terbakar. Dia hanya cedera di tangan dan  kaki dalam kejadian itu.

Sebarang perbuatan khianat ditolak oleh Datuk Bandar Milan, Giuseppe Sala. Beliau  mengesahkan bahawa tiada sesiapa yang terbunuh dalam kejadian itu.

“Ia sebuah van yang membawa tabung oksigen,” katanya sambil menambah, hanya pemandunya yang cedera ringan.

Sala berkata, pemandu  itu memaklumkan kepada bomba bahawa kebakaran bermula pada bahagian enjin van yang dipandunya.

“Dia cepat-cepat mengambil tabung oksigen yang dibawanya. Dia cuba mengehadkan kerosakan tetapi letupan berlaku,” kata datuk bandar berkenaan.

Api segera dipadamkan oleh anggota-anggota bomba apabila kepulan asap hitam menjulang ke langit. Seorang pegawai bomba, Carlo Cardinali berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar letupan itu. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI